Berita Terkini
recent

Siti, Dayang, Sheila saling sokong

Dalam keadaan sekarang, kalau ada bertanya apa membuatkan Cik Pang bangga mengenai industri hiburan tempatan adalah penggiatnya saling menyokong antara satu sama lain.

Ia dapat dilihat melalui apa dilakukan Datuk Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah apabila mereka saling menyokong antara satu sama lain menggerakkan industri dengan memastikan jualan single mahupun album dikeluarkan mendapat sambutan.

Sebelum ini sewaktu album Dayang dipasarkan, ia mendapat sambutan baik daripada peminat muzik tanah air apabila mengungguli carta Itunes, begitu juga dengan single terbaru Siti, Segala Perasaan terus berada di carta nombor satu sebaik diedarkan.



Disebabkan sokongan padu diberikan peminat juga, jualan album dua penyanyi popular ini serta Datuk Sheila Majid yang tampil dengan Boneka selepas 14 tahun sepi tanpa lagu baru, cukup memberangsangkan.

Baru-baru ini sewaktu menghadiri majlis pelancaran album terbaru Siti, Simetrisiti, teman Cik Pang berkongsi cerita betapa bagusnya penyanyi pujaan ramai itu menjelaskan lagu terbaru yang dibelinya secara digital adalah single terbaru Dayang, Separuh Matiku Bercinta.

Bukan itu saja, sewaktu mereka sama-sama mengadakan persembahan, Dayang menggunakan peluang itu untuk menghadiahkan album terbarunya kepada Siti.

Dalam waktu sama, Dayang juga mendapatkan lagu single pertama dari album Simetrisiti, Segala Perasaan dan memuji karya dihasilkan Ivan Lahardika sebagai karya yang sangat sedap didengar.

Selain menggemari lagu terbaru Siti itu, Dayang juga kini turut meminati lagu daripada album terbaru Sheila Majid.

Melihat perkembangan ini, ia memberi petanda positif kepada industri muzik tempatan malah Dayang sendiri sering kali menguar-uarkan dalam laman sosial Instagramnya agar peminat terus menyokong industri muzik tempatan dengan membeli album dihasilkan Siti juga Sheila Majid dengan membuat # khas ‘#supportlocalmusic’ sebagai satu kempen.

Syabas Cik Pang ucapkan kepada Siti, Dayang dan Sheila Majid atas kelahiran album terbaru mereka. Khabarnya selepas Aidilfitri nanti lebih banyak penyanyi nama besar akan tampil dengan album terbaru mereka.

Cik Pang senyum lebar apabila menerima perkhabaran itu kerana ia menjadi petanda industri muzik tempatan sudah kembali rancak.
Powered by Blogger.