F Saya Tak Pandai Ajar Orang - Zarina Zainoordin | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Saya Tak Pandai Ajar Orang - Zarina Zainoordin

Demi kelangsungan hidup selaku anak seni, Zarina Zainoordin, 32, mengakui dia mencuba pelbagai cabang seni.

Jelas Zarina, dari situ dia dapat melihat mana yang serasi dengan jiwanya.

“Saya bermula sebagai penyanyi, tapi ketika itu penyanyi baru ibarat cendawan turun selepas hujan, jadi saya cubalah berlakon.

“Tapi sekarang baik menyanyi atau berlakon, sama sahaja sebab banyak muka baru. Jadi saya cuba juga jadi penyampai radio dan seterusnya mengacara.

“Bagaimanapun selepas buat semua bidang, saya rasa bidang penyampai radio bukan minat saya. Saya rasa tak boleh untuk bercakap menghadap dinding setiap hari walaupun saya ada rakan penyampai.

“Apatah lagi bila kita jadi penyampai, kita perlu alert dengan perkembangan semasa. Bagi saya, cukuplah pengalaman berharga selama lapan bulan.

“Ia jadi pengalaman manis buat saya dan saya tak menyesal cuba biarpun dari awal saya sendiri tak yakin saya mampu melakukannya,” jelasnya.

Tambah Zarina, biarpun mencuba buat pelbagai kerja, namun dia tetap utamakan kualiti dan disiplin dalam bekerja.

“Dalam kerja kalau tak ada disiplin memang tak ke mana. Sekali dua orang percayalah bila dah banyak kali, bye-bye.

“Kualiti juga penting. Contoh kalau berlakon bila orang bagi watak antagonis buat betul-betul,” katanya.

Ditanya tidakkah dia mahu terlibat dalam bidang belakang tabir setelah lebih 10 tahun berkecimpung di dalam industri?  jawab Zarina, “Kalau sebagai pengarah saya rasa saya tak layak sebab saya tak pandai ajar orang.

“Malah kalau di lokasi jika ada pelakon baru minta pendapat saya akan bagi pendapat berdasarkan pengalaman, tapi bukan ajar.

Contoh, kau patut kena buat macam ni, macam tu.

“Kalau dalam bidang nyanyian pula, saya minat untuk menulis lirik, tapi masih perlukan bimbingan. Kalau jadi komposer tu mungkin tak layak lagi la,” ujarnya.

Berkongsi perkembangan terkininya, Zarina berkata, dia kini muncul dalam drama Di Sebalik Wajah yang kini ditayangkan di saluran Hypp TV (saluran Hypp Sensasi).

Selain Zarina, drama 30 episod ini turut menampilkan Aliff Aziz, Hefny Sahad dan Diana Danielle. Ia disiarkan setiap Isnin dan Selasa, jam 9 malam.

Bukan itu sahaja, Zarina juga dalam perancangan muncul single terbaru.

“Saya memang rindu nak menyanyi, tapi saya kini bergerak sendiri dan agak sukar untuk saya keluarkan single.

“Oleh itu saya kini dalam perbincangan untuk keluarkan single dan saya harap dapat push lagu tersebut sebagai lagu tema drama,” katanya.
InstaForex
Powered by Blogger.