F Ritz impikan Hollywood | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Ritz impikan Hollywood

Mula mengukir kejayaan dalam lakonan lapan tahun lalu ketika menyertai program pencarian bakat, kini kerjaya seni Ritz Azul, 23, berjalan lancar.

Walaupun momentumnya perlahan, namanya tetap menjadi sebutan penggiat seni Filipina dan antara pelakon yang dikejar produser dan pengarah.


Bagi Ritz, kelangsungan kerjaya seni sudah cukup baginya dan bukan anugerah yang dikejar. Baginya, kehadiran anugerah yang menghiasai almari rumahnya bukan sesuatu yang penting.

“Deretan anugerah bukanlah kayu pengukur seorang pelakon itu popular dan berjaya dalam kariernya. Kita tidak boleh nafikan ada sesetengah individu yang menerima anugerah bukan atas dasar bakat sebaliknya undian semata-mata.

“Bukan mahu membangga diri atau riak tetapi hakikatnya, saya menerima lebih banyak peluang berlakon dan membintangi drama untuk waktu perdana dibandingkan mereka yang menerima dua atau tiga anugerah.

“Secara peribadi, anugerah diberikan kepada saya sebagai tanda kemenangan dalam anugerah tertentu tidak boleh diusung ke sana sini sebagai pernyataan pada bakat lakonan saya kerana pada akhirnya, bakat juga yang menjadi perhatian,” katanya.

Ritz akui impian terbesarnya adalah bergelar pelakon di Hollywood. Andai laluan sebagai pelakon sukar, Ritz yang mempunyai suara lunak itu ingin berjaya sebagai penyanyi seperti Jennifer Lopez.

Katanya, tidak salah memasang impian besar kerana ia akan menjadi peniup semangat untuk terus berusaha.

“Sama ada lambat atau cepat, saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik kerana tidak tahu siapa yang akan menonton drama lakonan saya.

“Saya sentiasa meletakkan Hollywood dalam minda agar melakukan yang terbaik dalam setiap lakonan. Saya tidak boleh andaikan drama saya hanya ditonton di Filipina.

“Bayangkan saya berlakon ala kadar dan drama itu ditonton penggiat seni luar negara. Secara tidak langsung keadaan itu akan membuatkan saya kehilangan peluang untuk memperkembangkan bakat ke luar negara,” katanya.

Ritz akui ada yang menganggap angan-angannya terlalu tinggi dan sukar untuk dicapai. Bagaimanapun, katanya, tidak salah untuk berangan-angan.

“Ada kalanya kejayaan itu bermula daripada angan-angan. Kalau hingga hari tua saya masih tidak berjaya ke Hollywood, setidak-tidaknya saya pernah memasang impian besar.

“Apapun, saya tidak akan rasa kecewa walaupun gagal mencapai impian terbesar itu kerana tahu sejak awal lagi saya memberikan yang terbaik serta bekerja keras untuk cuba mencapai impian itu,” katanya.

Ritz juga menasihati mereka yang ingin menjadi pelakon supaya memperluaskan pandangan tidak hanya sebagai pelakon di Filipina, juga melebarkan sayap ke luar negara dan meletakkan Hollywood sebagai sasaran utama.

“Saya rasa ramai pelakon yang ingin menjadi hebat di Hollywood tetapi ada yang sudah berpuas hati walaupun hanya setakat menjadi pelakon di Filipina.

“Bagaimanapun, menjadi pelakon Kelas A di negara sendiri bukanlah perkara yang merugikan. Ia adalah pencapaian membanggakan. Apa yang saya cuba katakan adalah membuka minda kita untuk cuba menembusi pasaran antarabangsa.

“Sebagai pelakon, kita tidak patut cepat berpuas hati dengan pencapaian kita. Selagi masih ada ruang untuk mencabar diri, kita harus ambil peluang itu,” katanya.

Drama lakonan Ritz, Glamorosa kini disiarkan TV3, jam 3 petang setiap Isnin hingga Khamis. Ia mengisahkan dendam Paulina selepas ayahnya dibunuh dengan kejam.

Kejadian itu menyebabkan ibu Paulina kurang siuman dan mula merancang untuk balas dendam terhadap Dr Claudia Herrera dengan mempergunakan anaknya, Natalia.

Paulina meminta anaknya, Karl menggoda Natalia malangnya Karl benar-benar jatuh cinta dengan Natalia.

Apabila gagal dengan rancangan itu, Paulina akhirnya berjumpa dengan Claudia dan meminta wanita itu memujuk Karl agar bertemu dengannya. Dia melihat peluang untuk melunaskan dendamnya semakin hampir.
ot;1" />
Powered by Blogger.