F Ramadan 101 'Uji' Pengetahuan Elfira Tentang Agama, Sejarah Islam | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Ramadan 101 'Uji' Pengetahuan Elfira Tentang Agama, Sejarah Islam

Selebriti sensasi, Elfira Loy menyifatkan tugas mengendalikan program berkonsep ilmiah, Ramadan 101, yang bakal bersiaran tidak lama lagi satu tanggungjawab yang berat.

Meski ini bukan pertama kali dia mengacara rancangan berkonsep ilamik namun pelakon berusia 23 tahun ini tidak menafikan program tersebut mencabar pengetahuannya tentang agama dan sejarah Islam.

"Sebelum ini saya pernah mengacarakan program Assalamualaikum di TV Al-Hijrah. Tapi program kali ini peranan saya lebih besar. Saya yang akan bercerita tentang satu-satu topik misalnya berkaitan dengan sejarah Islam manakala Ustaz Elyas Ismail akan huraikan dan bacakan hadis yang berkait dengan kisah atau topik yang saya sampaikan.

"Mulanya, saya takut untuk mengendalikan program ini. Risau kalau tersalah kongsi info. Tapi Alhamdulillah, ustaz banyak bantu. Ketika di set penggambaran kami banyak berbincang. Saya sendiri banyak membaca dan membuat kajian lebih mendalam tentang agama dan sejarah Islam.

"Tambah mencabar kerana saya tidak punya banyak masa untuk buat kajian lama-lama. Satu hari penggambaran dilakukan sebanyak lima episod, jadi di set penggambaran saya hanya ada masa dalam beberapa jam sebelum penggambaran dilakukan. Dalam tempoh yang singkat itulah saya sempat menyemak semula kajian-kajian yang saya lakukan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Ramadan TV3 & TV9, baru-baru ini.


Bakal bersiaran mulai 29 Mei ini, Ramadan 101 sebuah program yang memaparkan tentang sejarah Islam, perkongsian tentang gaya pemakananan sihat juga amalan yang boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

Tambah Elfira, walaupun tugas itu berat namun dia puas dan seronok mengendalikan program berkonsep sebegitu. Baginya, peluang yang diperoleh ini memberi ruang untuknya mempelbagaikan cabang pengacaraan bukan saja hanya program berkonsep santai atau outdoor malah bercorak perkongsian ilmu pengetahuan.

"Saya nak seimbangkan cabang pengacaraan saya dan tidak hanya tertumpu pada program yang fun dan santai saja seperti rancangan travelogue tapi program berbentuk ilmiah macam ni.

"Bila mengacara program keagamaan sebegini, mulanya saya ingat saya kena 'control-control' lebih-lebih lagi apabila berada di depan ustaz, kenalah bersopan. Tapi sepanjang kami jalani penggambaran, saya senang dan sangat selesa berkerjasama dengan ustaz. Beliau pun rupanya 'giler-giler' orangnya.

"Walaupun tugas ni berat tapi saya seronok sebab ia satu pengalaman baru bagi saya. Dan saya puas bila dapat sama-sama berkongsi ilmu dengan penonton," tuturnya yang turut berharap program kendaliannya itu mendapat respon positif apabila ditayangkan nanti.

Mengenai perkembangan karier lakonan pula, akui Elfira, dia kini tidak lagi menjadikan profesyen itu sebagai keutamaan. Sebaliknya dia memilih mengacara selain mengembangkan empayar perniagaannya.

Di samping itu pelakon yang cukup popular menerusi drama Dalam Hati Ada Taman ini juga sibuk dengan undangan daripada badan koporat dan institut pengajian tinggi sebagai motivator dan berkongsi pengalamannya sebagai usahawan muda kepada para belia.

"Tawaran berlakon ada cuma saya terpaksa menolak beberapa tawaran kerana tempoh penggambaran bertembung dengan jadual kerja saya yang lain. Lagipun sejak kebelakangan ini saya rasa macam kurang seronok hendak pergi ke set penggambaran dan berlakon.

"Sudah 11 tahun saya berlakon dan mungkin kerana sekarang saya ada kerja-kerja lain yang saya lebih seronok untuk saya lakukan.Buat masa ini rezeki saya mengacara dan menjadi motivator di IPT dan IPTA. Selain itu, saya uruskan perniagaan kafe dan jenama fesyen saya," katanya.

Perkembangan lain, Elfira terpilih sebagai duta Skuad Terima Kasih bersama lima lagi selebriti iaitu Redza Rosli, Mira Filzah, Ayda Jebat, Faizal Tahir, Aizat Amdan serta personaliti sukan Zaquan Adha. Sepanjang bulan Ramadan nanti, dia bersama barisan duta lain akan memeriahkan aktiviti seperti Jom Masjid dan Bazaar Terima Kasih di lokasi-lokasi terpilih seluruh tanah air.
InstaForex
Powered by Blogger.