Berita Terkini
recent

Rakam Semula Lagu 'Hancur Aku' Cabar Kreativiti Nidji

Kumpulan Rock terkenal Indonesia, Nidji, tidak risau jika lagu Hancur Aku versi mereka dikritik atau dibandingkan dengan lagu asal kumpulan Estranged.

Menurut vokalisnya, Giring Ganesha, mereka memilih untuk merakamkan semula lagu tersebut kerana terpikat dengan melodi serta liriknya dan menganggap ia satu cabaran serta penghormatan buat mereka menyanyikan lagu berkenaan. Bagaimanapun, sedikit pengubahan lirik dibuat untuk disesuaikan mengikut bahasa Indonesia.

"Ketika pertama kali mendengar lagu itu kami sudah terpikat dan sangat menyukainya. Lagunya sangat bagus. Jadi timbul idea, untuk merakamkan versi kami sendiri.

"Tapi ada sedikit liriknya yang diubah agar lebih relevan dengan bahasa Indonesia. Agak lama juga kami ambil masa untuk menghasilkan lagu ini. Ia satu cabaran buat kami bagaimana untuk mengulang main sebuah karya yang sudah bagus dan hit supaya masuk dengan Nidji pula. Ia juga satu penghormatan diberi peluang merakamkan lagu ini dalam versi kami.

"Terpulang kepada pendengar juga peminat sama ada mereka suka atau tidak. Kami juga tidak risau jika dikritik. Kami tidak menganggap ia satu pertandingan. Sebaliknya kami percaya, lagu yang bagus jika dibuat dalam versi apapun, ia tetap bagus, "katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharu, Love, Fake & Friendship, bertempat di The Bee, Publika, pada Isnin.

Dalam pada itu, seorang lagi anggota, Rama, berkata, mereka belum berkesempatan mendapatkan reaksi daripada kumpulan Estranged sendiri namun mereka gembira apabila dimaklumkan mendapat komen positif daripada Fazura yang sudah pun mendengar lagu tersebut.

"Kami belum ada kesempatan lagi untuk tahu apa reaksi dan komen Estranged, mungkin mereka sekarang sibuk dan belum dengar lagi versi kami. Tapi pihak Universal Music ada maklumkan yang Fazura sudah pun mendengarnya dan katanya, "its so cool", tutur gitaris ini.

Selain Giring dan Rama, Nidji dianggotai Andro (bass gitaris), Run-D (pemain keyboard), Ariel (gitaris) dan Adri (pemain drum).

Sementara itu berkongsi lanjut mengenai album ke lima mereka, kali ini Nidji memilih satu konsep pembawaan dan muzik yang cukup menarik sekaligus mampu mengisi kekosongan peminat sehari-hari.

Jelas Giring, sengaja Nidji memilih judul Love, Fake & Friendship kerana menyifat tiga kata keramat ini sebagai satu fasa yang pernah dialami oleh semua generasi.

"Ada kalanya manusia saling mencintai satu sama lain, ada kalanya manusia bersikap palsu agar seolah terlihat baik-baik saja. Dan persahabatanlah yang akan menjadi kunci untuk menjaga hubungan harmoni antara sesama manusia.

"Tetapi album ini bukan ditujukan hanya kepada generasi masa kini tapi sesuai untuk kita yang berjiwa muda.

"Album ini juga sudah dilancarkan di Indonesia tapi belum lagi berada dipasaran. Kami memilih untuk lancar dan pasarkan terlebih dulu di Malaysia. Manakala di Indonesia akan mula dijual selepas hari raya Aidilfitri nanti," katanya.

Disamping itu, ada banyak kolaborasi dalam album ini bersama barisan pemuzik hebat Seberang antaranya Guruh Soekarno Putra, Bemby Noor, Rian D'Mansiv, Pongky Barata, Tulus, Petra Sihombing dan pendatang baru, Dea.

Seiring dengan kelahiran album Love, Fake & Frindship dan Nidji yang meraikan ulang tahun ke-15, mereka akan berada di Malaysia untuk rangka promosi sehingga 11 Mei ini.

Mereka juga akan mengadakan showcase yang akan diadakan di Kilang Bateri Johor Bahru, pada 11 Mei, jam 9 malam. Tiket-tiket berharga RM80 boleh dibeli dengan melayari laman sesawang jooxlivenidji.peatix.com
ot;1" />
Powered by Blogger.