Berita Terkini
recent

Que sedekah baju raya

Kebiasaannya apabila tiba Ramadan dan Aidilfitri, kebanyakan pengusaha baju raya yang bekerjasama dengan artis akan sibuk menganjurkan acara pertunjukan fesyen koleksi terbaru mereka.

Berbeza dengan kolaborasi dilakukan aktor Que Haidar dan pengeluar baju Melayu, Qierahman, apabila memilih untuk mengedarkan koleksi terbaru mereka kepada golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai kempen dilakukan itu, pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem KL Menjerit itu berkata, idea datang daripada Qierahman yang mahu memberi sedekah koleksi baju yang dihasilkan itu kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Katanya, tanpa banyak bertanya dia terus bersetuju dan sangat berbesar hati dengan cadangan dibuat apatah lagi ia juga membabitkan isteri serta anak-anak bersama.

“Pada saya mendekati golongan gelandangan bersama anak-anak memberi peluang mereka melihat sendri betapa bertuahnya diri mereka dengan kehidupan dan rezeki yang diberikan.

“Pengalaman sepanjang program itu dilaksanakan, saya harap mereka lebih matang berfikir mengenai hidup dan menjadi insan lebih bersyukur pada masa hadapan,” katanya.

Kata Que, sepanjang program dilaksanakan, ketiga-tiga anaknya, Qalif Khan, Tengku Ratu dan Tengku Cleopatra sangat teruja.

“Ratu mengatakan dia sangat bersimpati dengan golongan gelandangan dan bertanya pada saya, kenapa tidak membawa mereka balik ke rumah memandangkan mereka tidak punya tempat tinggal.

“Ratu memang lembut hati dan dalam apa juga perkara, dia cepat mengalah. Sifat prihatinnya juga agak tinggi. Mengambil contoh, kalau saya sedang memandu dan terperangkap dalam kesesakan jalan raya, waktu sama dia terpandang peminta sedekah.

“Waktu itu kalau saya tidak berusaha untuk memberikan sedekah, dia akan bersedih. Ratu memang pemurah orangnya,” katanya.

Cleo pula, kata Que, gembira apabila bertemu dengan anak-anak gelandangan kerana dia memang suka berkawan dan sudah tentu menggunakan kesempatan itu untuk berkenalan serta berbual dengan mereka.

“Namanya pun budak-budak, sudah tentu berkawan adalah agenda utamanya. Cleo gembira apabila dapat memberikan selimut kepada kawan-kawan baru dia.

“Qierahman tidak menyediakan baju untuk kanak-kanak, jadi kami berikan selimut kepada kanak-kanak,” katanya.

Pembabitan Que dalam dunia fesyen khusus untuk koleksi hari raya ini sebenarnya sudah lama apabila berniaga baju di Bangsar Shopping Centre (BSC) sejak enam tahun lalu.

Katanya, segala-galanya bermula dengan isterinya, Linda dan rakan-rakan membuka gerai di BSC kemudian dia menyertai mereka berniaga baju sempena hari raya bersama Linda pada tahun kedua.

“Sambutan baik yang diterima membuatkan saya berasa seronok. Untuk tahun ini, Linda, Ratu dan Cleo mendapat tawaran bekerjasama dengan Syus Rumah Kebaya untuk menghasilkan baju wanita dan kanak-kanak perempuan.

“Qierahman pula mengajak saya dan Qhalif berkolaborasi selepas beberapa tahun menghasilkan baju Melayu untuk saya. Saya dan Linda memilih sendiri pada sudut material dan warna.

“Pada saya, ia sangat bagus memandangkan koleksi terbabit kami boleh menjualnya sendiri di BSC nanti. Saya sendiri meletakkan gandingan kami dengan rakan niaga ini sebagai koleksi khas The Haidars,” katanya.

Jadi penyanyi pula

Makin ramai kalangan pelakon muda mencuba nasib jadi penyanyi. Pelakon Que Haidar juga tidak melepaskan peluang bergelar penyanyi apabila bakal muncul dengan single tidak lama lagi.

Que akui memang dari awal lagi dia menyimpan cita-cita menjadi penyanyi, malah pada zaman sekolah dia mahu bergelar peragawan, pelakon dan penyanyi.

Katanya, impian itu sudah dipenuhi kecuali menjadi penyanyi dan peluang itu hampir menjadi kenyataan sewaktu melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Saya menyertai kumpulan nyanyian tetapi ketika itu banyak perkara yang perlu dilakukan seperti menjalani latihan dan mengadakan promosi. Tiba-tiba saya berasakan ia bukan diri saya dan ternyata saya lebih suka berlakon.

“Pada waktu sama, saya berkesempatan bertemu dengan penyanyi yang jauh lebih bagus. Jadi saya berasakan sebaiknya biar mereka yang lebih bagus menyanyi dan saya melakukan kerjaya yang saya rasa diri saya bagus,” katanya.

Apa yang membanggakan, single pertama Que adalah ciptaan sendiri sepenuhnya. Kata Que, melodi lagu Kisah Cinta itu sudah lama bermain di kepalanya serta sempat melagukan dan merakamnya.

“Apabila diperdengarkan kepada rakan-rakan, mereka kata mengapa tidak membentuknya menjadi lagu. Saya meminta bantuan saudara saya yang memang belajar muzik untuk membina lagu Kisah Cinta ini,” katanya.

Selepas memperoleh melodinya, kata Que, dia cuba menghasilkan lirik sendiri. Kisah Cinta berkisar orang sekeliling yang disayangi terutama arwah bapa.

“Saya dengarkan kepada Linda dan rakan-rakan. Kata mereka, lagu ini bagus. Jadi apabila mendapat maklum balas baik, saya cuba mencari penyanyi yang difikirkan boleh mendendangkannya dengan baik.

“Namun orang keliling berkata, mengapa tidak saya menyanyikan sendiri kerana ia berkenaan kisah hidup saya. Waktu sama saya sendiri pernah dan boleh menyanyi.

“Mendengar sokongan dan semangat diberikan, membuatkan saya mengambil keputusan untuk merakamkannya sendiri. Maka lahirlah lagu pertama ciptaan dan dendangan saya sepenuhnya,” katanya.

Kata Que, dia menyanyi bukan kerana mahu mengejar populariti atau ini pilihan kerjaya selepas mengurangkan aktiviti lakonan.

Sebalik dia mahu berkongsi perasaan dengan mereka yang mungkin pernah melalui fasa hidup seperti mana yang pernah dia rasai.

“Kerjaya nyanyian saya akan diuruskan oleh Ikatan Seni Komuniti Anak Felda (ISKAF) dan yang bakal memasarkan Kisah Cinta adalah Luncai Emas. “Kami merancang untuk memasarkan lagu ini pada bulan ini tetapi melihatkan situasi, nampak gayanya tidak sempat.

“Kami merancang untuk merakamkan klip video terlebih dulu dan pelancarannya akan dibuat serentak, lagu dan klip video,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.