Berita Terkini
recent

Pujian buat Mentor

PROGRAM Mentor Milenia 2017 yang melabuhkan tirainya Ahad lalu dilihat sebagai pembuka jalan buat pendatang baru dunia nyanyian.

Malah, perjalanan finalis dan peserta lain khususnya tidak hanya teruji ketika persaingan dalam pertandingan semata-mata tetapi keupayaan bersaing dengan penyanyi profesional menjadi keutamaan.

Juri tetapnya, Datuk Hattan ketika ditemui Media Hiburan menegaskan, Mentor Milenia umpama menjadi platform terbaik untuk bakat baru menyerlah.

Apatah lagi sepanjang persaingan berlangsung, mereka mendapat tunjuk ajar mentor yang juga penyanyi muda terbaik Malaysia.

Lalu kesempatan yang diterima peserta ini seharusnya dipandang serius sebagai persediaan bersaing dalam realiti industri muzik di negara ini.

“Memang puas hati dengan keputusan ini. Sebagai juri tetap, secara umumnya ada peningkatan, kebolehan dan kesungguhan finalis untuk menjadi juara.

"Ini membuktikan mereka ada standard dan serius untuk menjadi penyanyi,” katanya.

Jelas bintang yang popular dengan lagu Biso Bonar ini lagi, pada peringkat awal persaingan Mentor Milenia 2017 lagi, beliau sudah boleh melihat peningkatan kualiti vokal dan persembahan beberapa peserta menjadi petanda baik kepada bakat baru.

"Situasi itu secara tidak langsung memberi ruang kepada mentor dan juri tetap menilai sejauh mana kesungguhan dan keupayaan mereka untuk bersaing dan menjadi lebih profesional dalam bidang nyanyian.

“Contohnya Elica, Syeera dan Along cepat belajar menjadi lebih baik dari minggu ke minggu. Usop juga konsisten.

“Tapi dari segi vokal, peningkatan yang paling ketara ialah Elica. Budak ni memang bagus,” ujar  Hattan yang turut memuji  mentor kepada protégé yang berani cuba sesuatu di luar kotak.

Hattan juga kagum dengan usaha mentor kerana berani melakukan perkara baru.

"Tidak terlalu klise dengan persembahan yang kita boleh agak. Saya pernah bagi cabaran pada mereka untuk buat sesuatu yang berbeza dalam persembahan misalnya dari segi susunan muzik dan stail persembahan. Alhamdulillah, mereka sahut cabaran dan kita boleh tengok persembahannya baik sekali.

“Itulah yang membuatkan Mentor Milenia pada musim kali ini lebih menarik dan unik,” puji Hattan.

Pun begitu, selaku juri tetap untuk musim ini, penyanyi senior ini turut menegur supaya mentor perlu lebih peka dengan pembelajaran protege masing-masing, contohnya mendapatkan khidmat guru vokal yang lebih berkualiti dan terlatih jika program realiti itu diteruskan musim akan datang.

Puas hati dengan keputusan

Hattan yang mewakili juri jemputan pada malam itu, Fauziah Ahmad Daud (Ogy) berpuas hati dengan keputusan yang diterima, apatah lagi melibatkan juri profesional, undian menerusi laman web dan juri awam.

Beliau sendiri menegaskan cukup teliti mengenai vokal dan memuji peningkatan Along yang berjaya mengatasi Syeera menerusi lagu Merisik Khabar.

"Dia bawa kualiti vokal dan soul yang bagus. Sebab sebelum ni kalau kita tahu, Syeera selalu mendahului Along dan kini, sebaliknya berlaku.

“Kesimpulannya, sudah lama kita tak ada sebuah program realiti yang terdiri daripada peserta yang bagus, khasnya dari segi vokal mereka.

"Kali ni, semua peserta sering diuji dengan lagu mencabar dan cuba membawanya sebaik mungkin. Jadi saya berpuas hati,” kata Hattan.

“Saya harap selepas ini, Elica akan teruskan pengajian vokal. Jika dia berusaha, perjalanan seninya lebih jauh. Saya sudah boleh bayangkan kalau dia rekod lagu di Korea atau Jepun. Pasti ada market di sana.

“Tapi itulah, mungkin untuk masa sekarang kita boleh globalkan dulu kerjayanya menerusi media sosial Pembelajaran mereka juga tidak hanya di sini. Masih banyak yang perlu dipelajari dan diterokai untuk menjadi yang terbaik pada masa depan,” akhiri Hattan.

Elica terkejut

Sementara itu, Elica atau nama penuhnya, Angelica Paujin, 18, bertuah apabila dinobatkan sebagai juara Mentor Milenia tahun ini.

Menyifatkan finalis lain turut mempunyai kekuatan dan harapan cerah untuk bergelar juara, gadis dari Tambunan, Sabah ini mengakui tidak meletakkan harapan besar untuk menjadi juara namun bercita-cita mahu merealisasikan impiannya yang dipegang sejak dulu.

Elica memukau juri dan penonton dalam dua segmen iaitu duet bersama Hael menerusi lagu Caritera Cinta dan Samar Bayangan nyanyian asal penyanyi Indonesia, Nicky Astria secara solo.

Kejayaan yang diraih itu melayakkan bintang muda ini menerima wang tunai RM100,000, trofi, telefon bimbit Neffos X1 Max dan pakej percutian ke London.

“Saya tak sangka tapi gembira selepas diumumkan sebagai pemenang. Minat menyanyi sudah lama. Saya pun pernah sertai pertandingan Idola Kecil musim ketiga lalu. Mungkin belum ada tuah saya ketika itu.

“Tapi saya tidak menyerah kalah. Sebaliknya cuba perbaiki diri dan sertai Mentor Milenia tahun ini. Tidak sangka pula boleh jadi juara,” katanya jujur.

Rai bersama keluarga, peminat

Anak pertama daripada empat beradik ini merancang pulang ke Tambunan, Sabah terlebih dahulu bagi merai kemenangan bersama keluarga dan teman rapat selepas mengadakan konsert istimewa di Karnival Wow bersama rakan Mentor Milenia lain.

"Selebihnya, saya serahkan jadual aktiviti seni pada pihak pengurusan,” ujar Elica yang sanggup melepaskan peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi demi bergelar penyanyi.

Pada masa sama, Elica juga memberitahu wang kemenangan berjumlah RM100,000 itu akan digunakan untuk membiayai kerjaya nyanyian yang bakal bermula dan selebihnya akan disimpan untuk jangka masa panjang.

“Terima kasih juga keluarga, peminat dan semestinya mentor saya, Akim atas segala tunjuk ajar dan nasihatnya sepanjang penglibatan saya dalam Mentor Milenia. Saya akan cuba yang terbaik selepas ini,” kata Elica menutup bicara.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.