F Peluang muka baru menonjol | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Peluang muka baru menonjol

Nama penyanyi Redza Hamid, Alif Redza dan Azarraband masih dikira baru dalam industri muzik suara tanahair.

Bagaimanapun, mereka beruntung kerana diberi peluang terbabit dalam program Karnival Inisiatif Peduli Rakyat yang berlangsung di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebagai artis baru, peluang keemasan ini digunakan sebaik mungkin bagi memperkenalkan nama dan lagu masing-masing.

Tidak bersandarkan kepada persembahan semata-mata, mereka juga perlu bijak berkomunikasi dengan penonton.

Walaupun hanya satu lagu, tampil dalam program ini amat bernilai sebagai tanda pengenalan mereka buat peminat. Apatah lagi dunia nyanyian tanah air sememangnya sengit dengan kemunculan ramai penyanyi pelbagai genre.

Redza memilih menyampaikan lagunya berjudul Ku Pergi, Alif pula dengan lagu Pedulikan Aku, manakala Azarraband dengan lagu Berjuta Maafmu.

Masing-masing menonjolkan kemantapan nyanyian, sekali gus menghiburkan semua yang hadir.

Redza berkata, dia seronok terbabit dalam program itu kerana dapat mempromosikan dirinya kepada masyarakat.

“Tak dinafikan banyak bakat baru muncul sekarang sehingga menjadikan peminat keliru siapa mereka. Malah, ada juga fenomena lagu popular di radio tapi peminat kurang kenal penyanyinya kerana tak banyak pendedahan diberikan.

“Sebagai orang baru, ini platform terbaik buat saya mendekati peminat. Mereka nampak terhibur dengan lagu yang dibawakan. Sambutan baik ini menyemarakkan semangat saya untuk terus mencapai cita-cita bergelar artis popular,” katanya yang berharap program ini diteruskan lagi.

Alif yng anak didik Azlan The Typewriter bersyukur kerana sudah beberapa kali terbabit program sebegini dan sambutan yang diberikan sangat menggalakkan.

“Boleh dikatakan ini medan promosi saya untuk bertemu peminat buat masa ini. Alhamdulillah peminat nampaknya sudah kenal siapa Alif. Malah, ada sebahagian daripada mereka menghafal lirik lagu saya dan turut menyanyikannya.

“Ini satu petanda positif dalam karier saya yang kini meningkat. Diharapkan masyarakat dapat terima kehadiran saya dalam bidang seni tempatan,” katanya.

Azarraband pula menganggap terbabit dalam program ini sebagai pengalaman yang sangat berguna untuk karier mereka.

“Melihatkan pengunjung yang hadir daripada pelbagai golongan, kami perlu pandai berceloteh bagi memenuhi citarasa mereka. Bimbang juga kalau-kalau tersilap cakap kerana boleh menjejaskan nama kami nanti.

“Program ini juga sebuah program yang baik kerana selain menikmati persembahan yang disajikan, pengunjung juga dapat pelbagai informasi daripada pelbagai agensi kerajaan yang membuka kaunter,” kata mereka.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu Perhubungan Awam Media dan CSR Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Mohd Fauzi Mohd Ghazali selaku penganjur berkata, program ini berjiwa murni kerana bermatlamat membantu mereka yang memerlukan.

“Artis memainkan peranan besar bagi menyampaikan informasi kepada masyarakat. Mereka dapat menjadi tarikan kepada masyarakat untuk hadir ke program ini.

“Secara tak langsung, selain berhibur mereka dapat mengetahui pelbagai maklumat yang disediakan pada program diadakan,” katanya.
ot;1" />
Powered by Blogger.