F Patah hati cinta lama | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Patah hati cinta lama

Band Armada dari Indonesia kini kembali ke Malaysia dengan buah tangan terbaru, Asal Kau Bahagia.

Jika sebelum ini mereka yang dikenali sebagai Kertas Band pernah popular dengan lagu Kekasih Yang Tak Dianggap, karya terbaru akan mengimbau kenangan itu.


Mempertaruhkan lagu balada, vokal Rizal kedengaran cukup meyakinkan. Walaupun Asal Kau Bahagia lagu dari seberang, ia masih dekat dengan hati pendengar negara ini.

Liriknya mengisahkan seorang jejaka menyedari kekasihnya masih tidak dapat melupakan cinta lama.

Walaupun perit menanggung rasa, jejaka itu terpaksa berkorban demi melihat kekasihnya bahagia.

Seperti biasa karya Indonesia gemar mempertaruhkan konsep ‘lagu galau’ atau berkisar patah hati.

Muziknya tidak terlalu berat dan selepas beberapa kali diulang, ia sudah dapat dihafal. Malah, Di Indonesia, lagu ini menjadi tular.

Di YouTube, video lirik Asal Kau Bahagia yang dimuat naik sejak tiga bulan lalu mencatat 66 juta tontonan.

Lebih menarik, dek jalan ceritanya yang menyayat hati, ramai tersentuh sehingga menghasilkan pelbagai versi lain sebagai balasan kepada kisah ini.

Ada yang menyampaikan lagu ini dengan lirik berbeza, dari sudut pandangan seorang wanita, pandangan bekas kekasih dan ibu bapa.

Bagi Armada yang dianggotai Rizal selaku vokalis, Radha (gitar), Mai (gitar), Endra (bass) dan Andit (dram), lagu ini sangat bermakna apabila ia berjaya menarik perhatian jutaan pendengar dalam tempoh singkat.

“Lagu ini dihasilkan pada tahun lalu tetapi hanya dilancarkan di Indonesia tiga bulan lalu. Menariknya, kemampuan lagu ini berkembang sama seperti ia sudah setahun berada dalam pasaran,” kata Rizal.

Menurutnya, Armada pernah cuba mengetengahkan genre lain tetapi ia kurang mendapat sambutan dan memilih untuk setia dengan muzik asal mereka.

“Ramai yang menganggap kami kembali menghasilkan lagu balada. Hakikatnya dalam album terdahulu yang berbeza genre, masih ada lagu balada cuma jumlahnya tidak banyak.

“Jadi, kami tampil dengan satu single balada untuk mengubat kerinduan peminat,” katanya.
ot;1" />
Powered by Blogger.