F Pangkat Tidak Membawa Kita Ke Mana-Mana – Nassier Wahab | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Pangkat Tidak Membawa Kita Ke Mana-Mana – Nassier Wahab

Semalam penyanyi lelaki terkenal tanah air, Nassier Wahab telah dianugerahkan darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Melalui kiriman Whatsapp, Nassier mengucapkan ribuan terima kasih atas ucapan tahniah tersebut dan sangat menghargainya.

Mungkin ini jugalah merupakan hadiah hari lahir penyanyi ini yang jatuh pada 18 April lalu.

Nassier Wahab merupakan penyanyi yang mendapat gelaran penyanyi istana kerana kerap mengadakan persembahan di kalangan kerabat dan VIP.

Menurut laporan portal Mstar , walaupun kini Nassier Wahab sudah bergelar Datuk namun dia lebih senang bersikap rendah diri dan selesa untuk dipanggil dengan namanya sahaja seperti sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya hanya mampu berkata syukur atas rezeki Allah yang tidak dijangka ini.

“Terima kasih atas semua ucapan tahniah yang dikirim yang mana ada kenalan mula mengusik dengan status panggilan saya selepas ini.

“Tak payah susah-susah kerana pangkat tidak membawa kita ke mana-mana. Panggil sahaja saya Nassier kalau itu yang mendekatkan kita, saya tak kisah,” katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Sekali Aku Jatuh Cinta ini bekata, ini adalah merupakan pengiktirafan tertinggi yang pernah diterima olehnya setelah 30 tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air.

“Selain pengiktirafan ini, September tahun lalu saya pernah menerima anugerah Tokoh Seni Ma’al Hijrah dari Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang),” ujarnya lagi.

Nassier, 55, merupakan antara 158 penerima darjah kebesaran dan pingat yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Untuk info, Nassier Wahab atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Abd. Wahab merupakan seorang penyanyi dari era 1980-an. Beliau berasal dari Teluk Air Tawar, Butterworth, Penang, Malaysia.

Kemuncak kerjayanya di dalam bidang seni ini adalah apabila beliau telah dicalonkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular (ABPBH) pada tahun 1987 dan 2004. Antara penyanyi yang seangkatan dengan beliau adalah Shidee, Razis Ismail dan Jamal Abdillah.

Powered by Blogger.