Berita Terkini
recent

Padah jumpa kenalan WeChat




Keputusan berani seorang remaja perempuan keluar bersama kenalan lelaki yang baru dikenali melalui aplikasi WeChat mengundang padah apabila dirogol sehingga mengandung dalam kejadian di sebuah rumah di Manir, di sini, tahun lalu.

Mangsa berusia 14 tahun bagaimanapun mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Manir, di sini, pada Khamis lalu apabila lelaki berkenaan gagal dihubungi selepas disahkan mengandung lima bulan.

Menurut sumber, tragedi hitam itu dikatakan berlaku pada November tahun lalu, selepas mangsa bertindak berani menerima pelawaan suspek yang hanya dikenali menerusi aplikasi WeChat untuk berjalan-jalan di sekitar Pulau Warisan, di sini.

Katanya, suspek yang menunggang motosikal dikatakan mengambil mangsa di hadapan sebuah sekolah rendah di Chabang Tiga, di sini, sebelum dibawa berjalan-jalan di sekitar Pulau Warisan.

“Selepas puas berjalan-jalan, suspek membawa mangsa ke sebuah rumah di Manir, di sini, sebelum dirogol dan menghantar remaja itu di tempat sama di mana suspek mengambilnya sebelum ini.

“Bagaimanapun, suspek mula berubah sikap apabila cuba melarikan diri dengan langsung tidak menghubungi dan enggan berjumpa dengan mangsa selepas kejadian itu,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang disahkan mengandung lima bulan itu berasa diri dianiaya dan dipermainkan sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.