Berita Terkini
recent

Nico G rai ulang tahun ke-25

MESKIPUN muncul kumpulan muzik baru, namun kumpulan muzik hip hop, Nico G yang sudah pun meraikan ulang tahun ke-25 penglibatan dalam industri muzik tempatan masih kekal bersama, gigih memperjuangkan irama yang menjadi identiti mereka sejak sekian lama.

Nico G yang ditemui pada majlis sambutan ulang tahun dan pelancaran single baru di Viva Kuala Lumpur baru-baru ini juga memberitahu, pembawaan lagu-lagu berentak Hip Hop di Malaysia masih lagi relevan dan mempunyai kelompok peminatnya sendiri.

Malah akui Affa mewakili rakan trionya itu menambah, jika tiada peminat, sudah tentunya mereka tidak terus berharap untuk terus membawa lagu-lagu sedemikian biar banyak aliran muzik baru kini.

“Syukur meskipun kita sedia tahu muzik hip hop ada pasang surutnya, tetapi peminat masih sokong. Tidak kurang yang beri komen membina dan semangat untuk kami di media sosial agar terus berkarya dalam dunia seni,” katanya kepada Media Hiburan.

Jelasnya lagi, tidak salah sekiranya Nico G kekal dengan muzik sedemikian memandangkan sebelum menjadi artis rakaman lebih 25 tahun lalu, mereka sudah pun terdedah dengan muzik hip hop.

Selain Affa atau nama sebenarnya Muzaffar Shah Baharin, 40, Nico G turut dianggotai Nico, 43, (Abdul Fashah Abd Aziz, 43) dan  Dino, 41, (Mohd Shah Rosli).

Single baru penuh makna

Nico G rai ulang tahun ke-25

Lalu sambutan ulang tahun kali ini juga lebih memberi makna apabila single terkini berjudul Dunia Alam Fana turut dilancarkan secara eksklusif pada sesi sambutan ulang tahun mereka.

Berkongsi kisah di sebalik lagu tersebut, Affa mewakili Nico G menjelaskan, Dunia Alam Fana ini lebih matang dari segi lirik dan muziknya, seiring dengan kematangan kumpulan itu dalam arena seni suara lokal.

“Kami sudah bertapak dalam industri selama 25 tahun dan tentunya lagu-lagu kami perlu ada standard tersendiri. Kalau nak diikutkan, lagunya lebih bersifat kemanusiaan dan kerohanian.

Dunia Alam Fana mengisahkan soal harapan juga kehidupan individu dalam mencari kehidupan yang lebih diberkati,” katanya yang turut mengakui, single baru ini bukanlah sebagai satu signal untuk bersaing dengan kumpulan muzik junior, tetapi hanyalah sekadar untuk memenuhi permintaan peminat selain memeriahkan industri seni.

“Kami tidak kisah kongsi ilmu seni atau perniagaan dengan artis baru. Sebab itu, kami beranikan diri tampil dengan single baru. Yang pastinya, kami cuba selit unsur dakwah juga agar sesuai didengari semua lapisan masyarakat.

“Harapnya lagu ini diterima ramai, insya-ALLAH,” harap Nico yang sebelum ini cukup dikenali menerusi lagu Inilah Nasibku dan muzik video lirik lagu ini juga sudah boleh ditonton di laman YouTube.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.