Berita Terkini
recent

Naskhah terbaik sarat emosi

Sejak ditayangkan minggu lalu, filem Guardians Of The Galaxy Vol. 2 mendapat pujian pelbagai pihak malah majoriti pengikut setia karya itu berpuas hati dengan jalan ceritanya.

Masakan tidak, selitan emosi dalam filem terbabit meletakkan rendisi kedua Guardians Of The Galaxy dalam kelas tersendiri dan boleh dianggap antara produk terbitan Marvel terbaik pernah dihasilkan.


Lebih istimewa, kekuatan skrip yang tidak melupakan aspek kemanusiaan terutama perhubungan kekeluargaan menjadikan naskhah arahan James Gunn ini bertenaga dan sarat emosi.

Ketika ditemui pada acara mempromosikan Guardians of the Galaxy Vol. 2 di Tokyo, Jepun baru-baru ini, Gunn tidak menafikan ramai penonton menantikan kesinambungan penjelajahan Star-Lord atau Peter Quill bersama teman wiranya.

“Saya percaya penonton tidak sabar melihat peranan setiap adiwira dalam filem ini.

“Proses menyiapkan filem ini berjalan dengan lancar tetapi perkara paling sukar bagi saya adalah memilih jalan cerita yang tepat memandangkan ada terlalu banyak idea.

Menurut Gunn lagi, ilham menghasilkan sekuel ini diperoleh pada hari pertama penggambaran filem pertama yang diterbitkan pada 2014.

“Pada waktu itu, saya tidak pasti sama ada filem ini perlu diteruskan. Namun, saya berpendapat kisah yang membabitkan bapa dan anak dalam filem ini wajar diceritakan lebih lanjut,” katanya.

Mengimbau kembali naskhah pertama, ia memaparkan Quill yang kematian ibu dipelihara lanun, Yondu Udonta sehingga menjadi penjaga angkasa lepas manakala dalam karya terbaru pula pemuda itu berusaha menjejaki bapa kandungnya.

Selepas pertarungan menewaskan Abilisk yang menyerang Sovereign, Quill, Gamora, Drax, Rocket Raccoon dan Baby Groot meninggalkan tempat berkenaan. Namun, mereka diekori sejumlah drone yang dihantar Ayesha, ketua Sovereign.

Ketika tercetusnya pertempuran di angkasa, mereka diselamatkan sebuah kapal angkasa yang dikemudi Ego. Lelaki itu kemudian memperkenalkan dirinya sebagai bapa kandung Quill yang juga penjaga dan pencipta planet Ego.

Mengulas identiti bapa Qull yang diubah, Gunn memberitahu dia sengaja berbuat demikian bagi mencari kelainan selain menambah elemen dramatik.

“Saya tidak suka karakter bapa Quill dalam komik. Saya mendapati hubungan bapa dan anak yang dipaparkan biasa saja untuk diangkat ke layar lebar.

“Lagipun, jalan ceritanya seakan-akan sama dengan Star Wars apabila si bapa adalah penjaga sebuah planet.

“Saya perlu tampilkan kelainan dan suka dengan perubahan yang dilakukan,” katanya.

Pratt tonjol kekuatan

Berikutan sambutan luar biasa terhadap Guardians of the Galaxy pada 2014 dan Jurassic World pada 2015, aktor Chris Pratt berjaya meletakkan dirinya sebagai pelakon gred A.

Bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini, Pratt tidak menyangka wataknya sebagai Pete Quill atau Star Lord dalam sekuel Guardians of the Galaxy Vol. 2 disenangi penonton.

“Saya sedar dengan kejayaan Guardians of The Galaxy dan Jurassic World, penonton mula meletakkan harapan tinggi.

“Bagi menghargai sokongan peminat, saya akan terus melakonkan watak aksi,” katanya.

Bercerita mengenai wataknya dalam Guardians of The Galaxy Vol. 2, Pratt berkata, kali ini dia perlu berdepan situasi yang menyentuh emosi.

“Jatuh cinta adalah perkara paling mudah dan antara detik yang selalu kami bincangkan dalam filem ini.

“Sejujurnya, cinta bukan mengenai tiba di satu destinasi semata-mata tetapi ia lebih kepada perjalanan,” katanya.

Tambah Pratt, bagi memastikan karakter anak dan bapa meninggalkan impak yang besar, dia mencadangkan watak Ego dibintangi aktor ternama Kurt Rusell.

“Saya tidak boleh membayangkan wajah orang lain selain Rusell. Dia pelakon paling layak untuk bawa watak Ego.

“Kami serasi sebagai bapa dan anak. Malah saya dapati kami mempunyai persamaan dengan watak yang dilakonkan. Bagi saya Rusell pelakon yang hebat,” katanya.

Sementara itu pelakon jelita Zoe Saldana menyifatkan kejayaan Guardians Of The Galaxy adalah kerana kerjasama baik di antara semua pelakon dan kru.

Dia yang membawa watak Gamora berkata, semua yang terbabit dalam pembikinan filem itu sangat komited malah hubungan mereka rapat bak keluarga.

“Sepanjang menjalani penggambaran filem ini, saya sangat teruja kerana dikelilingi kru produksi yang baik dan ‘sporting’.

“Apa yang boleh saya katakan, filem ini dihasilkan dengan teliti dan kreatif. Saya tak nampak sebarang kelemahan dalam filem ini,” katanya yang terpaksa menjalani rutin solekan selama empat jam bagi menghidupkan karakter Gamora berwarna hijau.
Powered by Blogger.