F Naskhah Jibam akhirnya ke layar perak | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Naskhah Jibam akhirnya ke layar perak

BAGI mereka yang membesar sekitar tahun 80-an dan 90-an, novel Jibam karya kartunis terkenal, Ujang, barangkali bukan asing lagi.

Naskhah yang mengangkat kisah kanak-kanak lembam iaitu Ashraf atau nama panggilannya Jibam sebenarnya mewarisi kepandaian bapanya Suman mengubat penyakit.

Sekitar tahun 2007, Jibam pernah diuar-uarkan akan di bawa ke layar perak, namun perancangan itu tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanapun Spektra Selasih Sdn Bhd akhirnya merealisasikan perancangan itu apabila bertindak menjadi penerbit untuk filem Jibam The Movie.

Filem yang diterajui adik Muhammad Arif Abdullah sebagai Jibam, yang sebelum ini meledak kerana lakonan berkesan sebagai Buntat dijangka menemui penonton September depan.

Penerbit filem ini, Jafar Ahmad berkata, novel Jibam antara karya kegemarannya ketika kecil dan menjadi impian untuk melihat Jibam diadaptasi ke layar perak.

Sehingga kini, kata Jaafar, 95 peratus jalan cerita dalam novel dikekalkan dan hanya lima peratus lagi diubah dan ditambah baik mengikut kesesuaian malah sepanjang shooting, Ujang datang ke lokasi untuk berkongsi idea yang sesuai mengenai filem ini.

"Malah Ujang sendiri pilih adik Arif selepas kami semua berjumpa bapanya. Saya harap filem ini boleh tarik perhatian penonton ke pawagam," ujarnya.

Dalam pada itu, Jafar mengakui bertuah apabila populariti  Arif melonjak sebelum filem ini ditayangkan.

"Kalau ikutkan Jibam adalah karya pertama yang dilakonkan oleh Arif sebelum dia berlakon dalam drama 7 Hari Mencintaiku.

"Sebelum ni kami dah maklum Arif ada disleksia tapi dia berbakat besar dalam lakonan.

"Selepas kami confirm ambil dia berlakon,  Arif ikut kami ke Kuala Lumpur dan belajar berlakon dengan guru dari Aswara (Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan) selama 10 hari.

"Alhamdulillah, dia mudah menghafal skrip dan boleh beri apa yang pengarah nak," jelasnya.

Jalin kerjasama

Sebagai permulaan mempromosikan naskhah ini, Spektra Selasih menandatangani perjanjian usaha sama dengan syarikat kecantikan, Cantik Dara dab pemiliknya, Nurul Sayang Rahmat, mahu menaja kos promosi filem ini kerana tertarik dengan jalan cerita Jibam.



"Karya Jibam ni, walaupun sudah lama, tapi masih ramai yang ingat. Sebab itu saya nak taja promosi filem ini. Jalan ceritanya juga mengenai anak istimewa.

"Anak-anak istimewa ni sangat dekat di hati saya. Filem seperti ini perlu banyak dihasilkan di Malaysia kerana ada nilai sensitiviti dan menyuntik rasa kita supaya lebih dekat dengan mereka (golongan istimewa)," katanya yang merahsiakan jumlah tajaan.

Tambah Nurul, dia juga berhasrat mempromosikan filem Jibam ke luar negara dan setakat ini semuanya masih dalam proses perbincangan.
ot;1" />
Powered by Blogger.