F Nana Mahazan Guna Duit Sendiri Kumpul Peserta AF1 | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Nana Mahazan Guna Duit Sendiri Kumpul Peserta AF1

PROGRAM realiti Akademi Fantasia musim pertama yang menjadi fenomena ketika ia mula-mula disiarkan pada 2003 meninggalkan banyak memori bukan sahaja kepada penonton tetapi para pesertanya.

Namun sayang sekali ramai bekas pesertanya semakin lenyap daripada dunia seni dan ada segelintirnya tiada khabar berita.

Bagaimanapun salah seorang pesertanya, Nana Mahazan mengambil inisiatif untuk menghimpunkan semula kesemua peserta AF1 dalam sebuah acara iaitu #AF1reunion baru-baru ini.

Malah Nana sanggup mengeluarkan wang daripada poketnya sendiri bagi merialisasikan hasrat untuk bersama-sama 11 rakannya di atas  satu pentas.

"Idea untuk menghimpunkan kembali rakan-rakan AF1 berlaku secara spontan dan Alhamdulillah saya cadangkan kepada rakan-rakan dan mereka bersetuju untuk menjayakan persembahan itu.

"Jujur saya katakan acara itu memang tiada penaja dan saya keluarkan wang sendiri, paling penting kami dapat bersama-sama pada persembahan reunion itu," katanya.

Kesemua peserta AF1 yang hadir adalah Vince, Khai, Rosma, Sahri, Azizi, Burn, Liza, Atie dan Adifashla manakala Azza tidak dapat menyertai kerana suaminya dimasukkan ke hospital.
Persembahan #AF1reunion diadakan di Comedy Planet, Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Dalam pada itu, Nana berkata, tujuan utama dia mengadakan program itu adalah untuk memberitahu bakat-bakat yang dilahirkan menerusi rancangan realiti itu bahawa peserta AF1 masih hebat walaupun masing-masing dilihat sepi daripada aktiviti seni.

Kata Nana, #AF1reunion juga adalah platform untuk memberi peluang kepada rakan-rakannya mengadakan persembahan selain mengimbau kenangan bersama peminat.

"Ramai di antara mereka yang sudah lama tidak menyanyi walaupun bakat mereka besar dan sebab itu saya bulatkan hati untuk buat juga program ini.

"Biar orang tahu mereka masih berbisa cuma peluang sahaja tidak ada untuk mereka kehadapan," katanya.

Sementara itu, Nana berkata, dia tidak menolak akan membawa idea #AF1reunion bagi menjelajah seluruh Malaysia untuk mengadakan persembahan selain bertemu peminat.

"Selepas melihat ramai peminat memberi sokongan sehingga penuh Comedy Planet tempoh hari, ada idea untuk membawa persembahan itu ke seluruh Malaysia.

"Insya-Allah jika ada peluang dan rezeki, mengapa tidak?" soalnya.


ot;1" />
Powered by Blogger.