F Najib batal perjanjian Bandar Malaysia? | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Najib batal perjanjian Bandar Malaysia?

RAMAI pihak tertanya-tanya apakah punca sebenar pembatalan perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia seperti diumumkan TRX City Sdn Bhd, kelmarin.

Mengikut kenyataan TRX City Sdn Bhd, syarikat di bawah Kementerian Kewangan, SSA Bandar Malaysia dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH), dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn Bhd (CREC) telah dibatalkan berikutan kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

Namun sesetengah pihak pula menyangkal dakwaan tersebut, sebaliknya menuduh kerajaan China enggan meluluskan perjanjian firma milik negara itu dengan IWH yang berpangkalan di Johor.

Malah, yang lebih mengejutkan ialah kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri membatalkan perjanjian itu berikutan PRU14 akan diadakan tidak lama lagi.

Menurut Sin Chew Daily, demi berusaha mengekalkan tampuk pemerintahan, Najib terpaksa mengambil keputusan menangguhkan perjanjian itu buat sementara waktu kerana bimbang kehilangan sokongan pengundi Melayu, terutama golongan konservatif.

"Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus menerus menuduh kerajaan menggadaikan maruah negara dengan menjual Bandar Malaysia kepada China. Tuduhan demi tuduhan dilemparkan Mahathir tidak boleh dipandang remeh.

"Akhirnya Najib terpaksa ambil keputusan menangguhkan perjanjian jualan saham itu dan hanya akan membuka semula rundingan selepas berakhirnya PRU14," tulis akhbar ini.

Akhbar itu turut menulis, pembatalan perjanjian ini membolehkan kerajaan menguasai sepenuhnya projek Bandar Malaysia, sekali gus tidak akan memberi peluang kepada parti pembangkang menggunakan isu tersebut sebagai modal politik mereka.

"Pembatalan ini turut didorong oleh kegagalan pihak pembeli menunaikan janji melakukan pembayaran, maka sebab itulah kerajaan sendiri mengambil keputusan tidak lagi bekerjasama dengan IWH CREC Sdn Bhd."

Perjanjian tersebut membabitkan 60 peratus modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd bernilai RM7.41 bilion.

Keseluruhan pembangunan Bandar Malaysia dipercayai membabitkan kos kira-kira RM200 bilion.

Berikutan perkembangan ini, Kementerian Kewangan selaku pemegang tunggal kepentingan TRX City akan mengekalkan pemilikan 100 peratus terhadap kawasan berkenaan.

TRX City akan mempelawa mana-mana pihak berminat sebagai pemaju induk Bandar Malaysia dengan pemilikan penuhnya dikekalkan oleh Kementerian Kewangan.

Perdana menteri dapat dana pilihan raya

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan memasukkan dana pilihan raya ke dalam akaun sendiri kerana tidak tahu bagaimana hendak menguruskannya.

Ia didedahkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz seperti disiarkan Oriental Daily.

Menurut Mohamed Nazri, dana  tersebut  diperoleh Najib ketika beliau buat pertama kalinya memimpin BN menghadapi PRU sebagai perdana menteri.

"Setiap kali apabila menghadapi persiapan PRU, Pengerusi BN perlu mendapatkan dana yang mencukupi. Bukan senang nak kumpul dana dengan jumlah yang banyak.

"Apabila beliau pertama kali mengetuai BN hadapi PRU, beliau tak tahu nak dapatkan dana daripada siapa. Akhirnya putera raja Arab Saudi sudi memberikan kepadanya.

"Tetapi setelah dapat wang tersebut, beliau tak tahu nak simpan wang itu di mana, lalu beliau pun membuka satu akaun bank sendiri dan menyimpannya di situ," jelas Nazri yang tidak menyatakan berapa jumlah diperoleh perdana menteri itu.

Beliau menegaskan, perdana menteri sepatutnya tidak boleh disalahkan kerana menyimpan wang itu ke dalam akaun sendiri.

"Masalahnya ialah kedatangan sumber wang itu, sekiranya diperoleh dengan cara menyalahi undang-undang ataupun hasil daripada rasuah, ia sudah pasti bersalah. Tetapi, setelah diakui oleh putera raja Arab Saudi bahawa wang itu hasil derma, saya rasa perdana menteri tidak patut dipersalahkan," katanya.

Beliau berkata, bagi menghadapi pilihan raya, jumlah wang diperlukan BN adalah lebih kurang RM99 juta, termasuklah membayar wang deposit untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan wang perbelanjaan pilihan raya untuk setiap calon.
ot;1" />
Powered by Blogger.