F Nadia Aqilah akui kalah dengan populariti di media sosial | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Nadia Aqilah akui kalah dengan populariti di media sosial

Biarpun menyedari kecenderungan trend  masa kini yang memberi kelebihan kepada artis dan selebriti yang mempunyai ramai pengikut di media sosial, Nadia Aqilah tetap mahu mempertahankan kualiti kerja sebagai sandaran utamanya.

Malah Nadia tidak pernah menjadikan perkara tersebut sebagai halangan buatnya untuk terus menjual bakatnya kepada industri.

“Ketika awal penglibatan dulu, selalu jugalah saya tertanya-tanya kenapa susah sangat nak ke depan walaupun sudah tampil memberikan yang terbaik, namun bila semakin lama dalam industri saya semakin memahami situasi ini.

“Apapun saya tidak pernah kecewa dengan situasi itu sebaliknya terus mencari ruang dengan cara saya sendiri kerana bidang seni adalah minat saya.

“Saya akui kalah dari segi populariti di media sosial, namun alhamdulillah sehingga hari ini saya masih lagi di sini dan kerana bakat dan kualiti kerja saya tanpa dipengaruhi perkara-perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.

Mengakui kerap bekerja dengan produksi yang melibatkan rakan-rakannya, Nadia tidak pernah melihat situasi itu sebagai satu isu yang harus dipertikaikan.

“Saya akui banyak bekerja dan terlibat dengan produksi kawan-kawan kerana mereka tahu tahap lakonan saya dan sentiasa memberikan cabaran baru kepada saya dalam melakonkan sesuatu watak.

“Watak yang mungkin saya tidak dapat dengan produksi lain, tetapi dapat dilaksanakan ketika bekerja dengan mereka kerana kami sentiasa terbuka untuk berbincang dalam memastikan apa yang dilakukan itu memberikan hasil terbaik.

“Bagaimanapun itu tidak bermakna saya menolak kerjasama dengan produksi lain kerana pada asasnya kita tetap akan melihat kepada kualiti karya itu sebelum menerima sesuatu tawaran yang datang,” katanya yang bakal sekali lagi bergabung dengan rakan-rakannya menerusi drama Playboy Di Mindaku.

Bukan hanya di kaca TV, tetapi Nadia juga aktif dalam lakonan pentas di mana terlibat dengan sederetan pementasan teater baik di pentas besar mahupun pentas kecil sekitar ibu kota.

“Setiap tahun saya cuba pastikan untuk sekurang-kurangnya terlibat dalam satu pementasan teater biarpun sibuk dengan aktiviti seni lain kerana saya tidak mahu meninggalkan lakonan pentas,” katanya.

Terbaru pelakon serba boleh ini bakal tampil dengan pementasan teater Bangsawan Dendam Laksamana, arahan Pat Ibrahim Auditorium Dewan  Bandaraya Kuala Lumpur pada bulan November depan.

“Ini merupakan penglibatan saya yang pertama dalam pementasan teater bangsawan dan ia bakal memberikan cabaran baru buat saya.

“Selain itu saya juga terlibat dalam kerja belakang tabir kerana naskhah ini merupakan produk terbitan produksi yang diusahakan oleh Pat Ibrahim dan saya sendiri selain beberapa lagi rakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nadia yang sebelum ini turut dikenali sebagai penyanyi, sering ditanya bilakah dia akan tampil dengan lagu terbaru. Tidak kurang juga yang menyarankan agar kembali bersama trio Luscious yang pernah dianggotainya bersama pelakon Ruzana Ibrahim dan Enaaz Mokhtar sebelum ini.

“Kalau ada rezeki, saya ada menyimpan hasrat untuk merancang sebuah persembahan istimewa bersama Luscious bagi mengubat rindu peminat yang mahukan kami kembali bersama,” katanya yang sebelum ini pernah muncul dengan album D.I.V.A.
InstaForex
Powered by Blogger.