Berita Terkini
recent

MLM 2017 Mungkin Tahun Terakhir Buat Shiro

Kumpulan Shiro yang membawa mesej mengenai tanah pusaka ketika pusingan kedua final MLM 2017, berpuas hati selepas dinobatkan sebagai naib juara di Maharaja Lawak Mega 2017 minggu lalu.

Ajak berkata, mereka membuat persembahan seperti yang dirancang.

“Kami tidak kecewa sebab dah faham format undian,70 peratus datang daripada juri.

“Kami turut bersyukur dan berpuas hati kerana lawak-lawak yang ditampilkan mempunyai mesej dan bermoral. Kita bukan buat lawak kosong, cuma terletak kepada penonton untuk menilai dan menerimanya,” katanya.

Ditanya mengenai tanggapan orang ramai yang mengatakan Shiro mengitar semula idea lama untuk persembahan pada pusingan pertama final MLM malam itu, Ajak bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

“Di pusingan pertama itu, kami bawa lawak mengenai seorang wakil rakyat yang menawarkan janji palsu dan belum pernah menampilkan persembahan sebegitu.

"Kalau kata kami ulang balik, memang tak ulang idea untuk persembahan kami,” jelasnya.

Menurutnya, Shiro juga mungkin tidak akan menyertai lagi MLM yang akan datang.

“Sudah dua kali kami mendapat naib juara. Sebelum ini kami dikalahkan oleh Sepahtu.

“Jadi kalau masuk MLM seterusnya, mungkin agak payah nak jadi juara. Tambahan pula kami pun dah tua, ramai lagi pelawak baru yang masih muda.

“Puteh juga makin meningkat naik, jadi dalam masa terdekat, Shiro tidak mungkin akan sertai MLM,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM250,000 dan trofi sumbangan Astro bersama pasangannya, Shahrol.

Untuk info, kumpulan Shiro mula beraksi di pentas lawak menerusi program Raja Lawak pada musim keenam pada tahun 2012. Mereka telah dinobatkan sebagai juara untuk program tersebut.
Powered by Blogger.