Berita Terkini
recent

Misteri bau busuk di kedai tom yam

Tanda tanya berhubung bau busuk yang menyelubungi sebuah kedai makan tom yam di Jalan Syawal berdekatan dengan Balai Polis Lama Pontian, di sini terjawab dengan penemuan mayat seorang tukang masak, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian,  Suprintendan Zakaria Abdul  Rahman berkata, mangsa Mohamad Yunuh, 48  dikenali sebagai ‘ Mad Tomyam’ berasal dari Narathiwat, Thailand.

Menurut beliau, pihak polis menerima panggilan dari pemilik kedai tersebut  yang dikenali sebagai  Salleh Abdullah pada jam 10.45 pagi memaklumkan mengenai penemuan satu mayat di bahagian atas kedai tersebut.

Katanya, tiada sebarang kesan pecah atau geledah di lokasi penemuan mayat tersebut, di mana barang berharga serta wang tunai milik mangsa masih ada berhampiran dengan tempat mangsa terbaring.


Siasatan dilakukan pihak polis di lokasi penemuan mayat berbau di kedai makan tom yam Jalan Syawal

“Keadaan mangsa juga telah berbau dan  berulat dipercayai telah mati beberapa hari lalu berdasarkan kepada resit pembelian barangan yang bertarikh 27 April  lalu,” katanya dalam satu kenyataan disini.

Tambah Zakaria,  temubual  dengan beberapa orang awam di situ menyatakan kali terakhir mereka melihat mangsa pada 27 April lalu.

"Mangsa dikatakan sakit kepala dan tidak membuka perniagaan pada hari tersebut.

“Tiada sebarang unsur  jenayah dalam kejadian tersebut dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat," katanya.
Powered by Blogger.