Berita Terkini
recent

Medan Promosi Diri, Dekati Masyarakat

Meskipun masih baru industri seni suara tanahair namun penyanyi Redza Hamid, Alif Redza dan Azarraband beruntung kerana diberi peluang terbabit dalam program Karnival Inisiatif Peduli Rakyat yang berlangsung di sebuah pasaraya di Kota Damansara, baru-baru ini.

Sebagai pendatang baru, peluang keemasan ini sememangnya dipergunakan sebaik mungkin oleh mereka bagi memperkenalkan nama dan lagu masing-masing kepada peminat yang hadir.

Tidak bersandarkan pada persembahan semata-mata, mereka juga perlu bijak berkomunikasi dengan anggota masyarakat daripada pelbagai kelompok yang ternyata memberikan respon yang positif.

Biarpun hanya satu lagu, tampil dalam program ini amat bernilai sebagai tanda pengenalan mereka buat peminat. Apatah lagi dunia nyanyian tanahair sememangnya sengit dengan kemunculan ramai artis dengan pelbagai genre.

Redza menyampaikan lagunya berjudul Ku Pergi, Alif pula mendendangkan lagu Pedulikan Aku, manakala Azarraband dengan lagu Berjuta Maafmu. Mereka masing-masing menonjolkan kemantapan nyanyian sekaligus menghiburkan semua yang hadir.

Redza mengakui seronok terbabit dalam program ini kerana dapat mempromosikan dirinya kepada masyarakat.

..

"Tak dinafikan banyak bakat baru muncul sekarang sehingga menjadikan peminat keliru siapa mereka. Malah ada juga fenomena lagu popular di radio tapi peminat kurang kenal penyanyinya kerana tak banyak pendedahan diberikan.

"Sebagai orang baru, ini platform terbaik buat saya mendekati peminat. Mereka nampak terhibur dengan lagu yang dibawakan. Sambutan baik ini menyemarakan semangat saya untuk terus mencapai cita-cita bergelar artis popular,” katanya yang berharap agar program ini diteruskan lagi.

Alif, anak didik Azlan & The Typewriter bersyukur kerana sudah beberapa kali terbabit dengan program sebegini dan sambutan yang diberikan sangat menggalakkan.

"Boleh inilah medan promosi saya untuk bertemu peminat buat masa ini. Alhamdulillah peminat nampaknya sudah kenal siapa Alif. Malah ada sebahagian daripada peminat sudah dapat menghafal lirik lagu saya dan turut sama menyanyikannya.

"Ini satu petanda positif dalam karier saya yang kini sedang meningkat naik. Diharapkan masyarakat dapat terima kehadiran saya dalam bidang seni tempatan,” katanya.

Azarraband pula menganggap terbabit dalam program ini sebagai pengalaman yang sangat berguna untuk karier mereka.

Melihatkan pengunjung yang hadir daripada pelbagai golongan, kami perlu pandai berceloteh bagi memenuhi citarasa mereka. Bimbang juga kalau-kalau tersilap cakap kerana boleh menjejaskan nama kami nanti.

"Program ini juga sebuah program yang baik kerana selain menikmati persembahan yang disajikan, pengunjung juga dapat pelbagai informasi daripada pelbagai agensi kerajaan yang membuka kaunter," kata mereka.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu Perhubungan Awam Media dan CSR, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad selaku penganjur berkata, progam ini berjiwa murni kerana bermatlamat membantu mereka yang memerlukan.

"Artis sememangnya memainkan peranan besar bagi menyampaikan informasi kepada masyarakat. Mereka dapat menjadi tarikan kepada masyarakat untuk hadir ke program ini.

"Secara tak langsung, selain berhibur mereka dapat mengetahui pelbagai info yang disediakan pada program yang diadakan," katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.