Berita Terkini
recent

Markah terendah layak final

Tidak pernah terfikir menyertai program realiti Gema Gegar Vaganza (GGV) untuk menang, kumpulan Saujana mengakui disebabkan itu mereka mendapat markah terendah setiap minggu.

Bagi mereka, menyertai GGV adalah untuk mewarnai dan menghidupkan semula muzik nasyid yang dibawa.


Namun, selepas melihat kesungguhan peserta lain baru mereka sedar ia adalah pertandingan nyanyian.

Pada konsert separuh akhir GGV bertemakan Gema Berganda di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur, malam kelmarin, Saujana yang memperoleh markah terendah sebanyak 61.67 tetap layak ke peringkat akhir.

Dalam saingan separuh akhir, tidak ada peserta tersingkir dan semuanya layak ke peringkat akhir yang berlangsung di lokasi sama Ahad depan. Selain Saujana, turut layak ialah Hijjaz, Mirwana, UNIC, Hafiz Hamidun dan Azmi Caliph Buskers.

Anggota Saujana, Suffian berkata, mereka bersyukur apabila berpeluang bersama-sama peserta lain.

“Pada awalnya kami pasrah jika tersingkir pada separuh akhir. Namun mendengar sorakan penonton dan melihat lagu serta nama kami tertera di skrin rasa lega sekali.

“Kami akui pada awal tidak serius kerana niat menyertai program ini bukan untuk menang semata-mata tetapi lebih kepada bertemu kawan seperjuangan di samping berkongsi muzik nasyid kami.

“Tetapi apabila melihat kesungguhan rakan artis lain dan usaha mereka setiap minggu baru kami sedar kami menyertai pertandingan nyanyian,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Oasis Ustaz Fuad Mat Ali berkata, pihaknya tidak meletakkan had berapa peserta layak ke akhir.

“Segala keputusan kami tentukan pada malam separuh akhir. Walaupun Saujana sering berada di kedudukan terbawah, mereka memberikan persembahan yang bagus dan menarik.

“Melihat kesungguhan dan usaha mereka, bagi saya Saujana layak diberi peluang mengadakan persembahan pada malam akhir nanti,” katanya.

Peringkat akhir GGV bersiaran secara langsung pada Ahad ini bagi memberi laluan kepada final bola sepak Piala FA yang berlangsung Sabtu ini.

GGV akan ditayangkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis dan Maya HD bermula jam 9 malam manakala acara karpet merah bermula pada jam 8.30 malam.

Mirwana lega Kumpulan Mirwana yang mendapat undian tertinggi gembira apabila semua peserta ke peringkat akhir.

Bagi mereka, menyertai GGV tidak hanya berkongsi muzik, malah turut mengeratkan silaturahim.

“Kami sedih jika ada yang tersingkir malam ini (kelmarin). Syukur semua peserta berjaya ke final. Kami juga tidak menyangka berada di kedudukan tertinggi kerana melihatkan persembahan setiap peserta penuh mesej dan berisi sedangkan kami hanya fokus pada vokal serta susunan muzik semata-mata,” kata Hafiz.

Sementara itu, Azmi dipilih sebagai pemenang Anugerah Gema Terindah kategori kekal mantap atas persembahannya yang memukau.

Dia menerima wang tunai RM8,000 sumbangan Kopi Pak Belalang dan hadiah berkenaan akan disalurkan kepada badan amal yang terpilih.

Program GGV diadili 100 peratus oleh juri profesional iaitu Farihin Abdul Fattah dan Oki Setiana Dewi serta seorang juri jemputan setiap minggu.

Pada persembahan akhir nanti setiap peserta diberi dua tugasan dengan menyanyi secara solo dan battle dengan peserta lain.
Powered by Blogger.