Berita Terkini
recent

Lagu 'tangkap leleh' jadi taruhan

PENGLIBATAN ramai anak muda berbakat tidak dinafikan memberi warna lebih meriah dalam industri seni suara tempatan. Malah ada di antara mereka yang sukses membina kerjaya dalam dunia glamor, tanpa membelakangkan pengajian.

Itulah hakikat yang turut diakui kumpulan muzik baru, Putera Band yang terdiri daripada empat anak muda iaitu Haziq, Aidid, Fitri dan Alifd yang turut memasang impian untuk mencipta nama dalam dunia nyanyian dan pada masa sama turut melakar jaya dalam pendidikan.

Vokalisnya, Haziq mewakili anggota yang lain memberitahu Media Hiburan, usia bukanlah penghalang besar buat mereka dalam mengejar cita-cita.

Sebaliknya, dengan usaha berterusan, sokongan peminat serta berkat doa ibu bapa sudah pasti apa yang diharapkan itu akan dapat direalisasikan dengan jayanya.

“Memang benar, kami semua masih lagi muda. Malah ada di antara kami masih bersekolah. Namun itu bukan alasan untuk kami lakukan apa diminati. Sejujurnya, minat menyanyi itu sudah pun terpendam lama.

“Selagi kami tidak abai pengajian, selagi itu ibu bapa beri dorongan dan penguat semangat.

“Jadi bila sudah ada peluang untuk rakam lagu secara profesional, sudah tentu kesempatan itu tidak akan dilepaskan. Ia diibaratkan sebagai platform buat Putera Band untuk mempertaruhkan kebolehan,” akui Haziq, 17, ini serius.

Ditanya bagaimana tertubuhnya kumpulan ini, Haziq menjelaskan semuanya berlaku secara spontan.

Katanya tahun lalu, dia menemani ibunya, Linda (dari kumpulan Eva) membuat persembahan pentas sebelum diperkenalkan dengan rakan Putera Band yang lain.

“Kami tidak saling mengenali pada peringkat awal. Dulu nama kumpulan ini ialah M7. Ibu perkenalkan saya pada mereka lalu kami sepakat isi masa dengan bermain muzik dan merakam demo bersama.

“Alhamdulillah, selepas memuat naik demo berjudul Rebahku Tanpa Dia, FMC hubungi lalu tawar kami rakam lagu tersebut.

“Syukur dengan peluang yang diraih, Putera Band muncul dengan single pertama berjudul Rebahku Tanpamu dan kini kami merancang melancarkan single kedua pula berjudul Tak Ingin disakiti pula dalam tempoh terdekat.

“Lagu tersebut dicipta Sang Hitam sementara lirik pula ditulis  penyanyi muda berbakat popular, Haqim Rusli,” sambung Haziq.

Selesa lagu 'tangkap leleh'

Ditanya sejauh mana penerimaan peminat terhadap single pertama mereka, Putera Band yang sebelum ini pernah membuat persembahan untuk segmen The Stage di Media Hiburan baru-baru ini merakamkan rasa teruja dan berterima kasih buat peminat yang menerima baik single Rebahku Tanpamu.

“Klip video lagu tersebut sudah pun ditonton lebih lima kali di YouTube dan tentunya itu menjadi sandaran untuk kami lakukan yang terbaik selepas ini.

“Terima kasih buat semua yang beri sokongan meski Putera Band masih lagi baru dalam dunia seni,” luah Haziq merendah diri.

Sementara itu, Putera Band juga berharap agar kehadiran mereka setidak-tidaknya memberi ruang buat pencinta muzik untuk memilih lagu yang serasi dengan cita rasa masing-masing.

“Kalau nak diikutkan, lagu ‘tangkap leleh’ kini kembali menguasai carta lagu popular dan seakan mengimbas kembali senario muzik pada awal 90-an lalu.

“Jadi kami sebagai muka baru perlu peka dengan perkembangan muzik semasa dan kerana itu jugalah, Putera Band senang menyanyikan lagu berentak sedemikian kerana demanding yang tinggi daripada pendengar,” akui Haziq lagi.

Tiada istilah bersaing

Berbalik pada sisi kerjaya seni mereka pula, Putera Band tidak menganggap wujudnya persaingan di antara mereka dengan kumpulan muzik lain sedia ada. Sebaliknya, penglibatan Putera Band hanyalah sekadar pelengkap bagi memeriahkan dunia seni.

“Ibu pernah beri pesan pada saya. Katanya kalau buat sesuatu itu, lakukan bersungguh-sungguh. Kena all out. Jadi saya pegang nasihatnya itu. Jadi sebab itu, kami tidak rasa kumpulan yang mahu bersaing dengan band muzik lain.

“Apa yang kami tahu ialah, kami buat apa yang disukai dan tentunya, kami turut mengharapkan penerimaan baik Putera Band dalam dunia hiburan khasnya dari peminat dan rakan artis yang lain.

“Apa yang kami fikir dan fokus ialah, hanya berikan yang terbaik demi menghiburkan peminat,” akhiri Haziq.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.