F Kontroversi Salah Fakta Tak Ubah Jalan Cerita Teater Ola Bola | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Kontroversi Salah Fakta Tak Ubah Jalan Cerita Teater Ola Bola

Biarpun filem fenomena Ola Bola sebelum ini terpalit dengan kontroversi di dakwa salah fakta namun isu tersebut tidak mengubah jalan cerita Teater Muzikal Ola Bola yang bakal dipentaskan di Istana Budaya, pada Februari tahun hadapan.

Pengarahnya, Tiara Jacquelina berkata, beliau mempunyai kreativiti dan pendekatan tersendiri untuk menggarap karya tersebut namun tetap mengekalkan jalan cerita teater itu sama seperti jalan cerita filem.

"Kami mendapat lesen daripada Astro untuk mementaskan teater ini dan seperti yang tertulis di dalam perjanjian, kita tidak boleh menukar jalan ceritanya.

"Tetapi ada caranya dan kita akan berusaha tanpa lari dari jalan cerita seperti mana di dalam filem cuma strukturnya dalam bentuk muzikal,"katanya tatkala media mengajukan persoalan sama ada jalan cerita teater berkenaan akan diperbaiki ekoran kontroversi lalu.

Tiara berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman pementasan teater tersebut, di Panggung Bandaraya, semalam.

Filem Ola Bola yang ditayangkan pada 28 Januari tahun lalu mengisahkan kegigihan Ali (Luqman), Tauke (JC Chee) dan M. Saran Kumar (Muthu) dalam cuba membawa pasukan Malaysia ke Sukan Olimpik di Moscow, Rusia.

Filem yang mencecah kutipan RM12 itu mencetus kontroversi sekaligus mengundang kemarahan beberapa bekas bintang bola sepak negara yang mendakwa pengarah filem tersebut sewenang-wenangnya menukar beberapa fakta sejarah.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai peranannya kali ini sebagai pengarah, Tiara berkata beliau teruja untuk mengarahkan teater muzikal sulungnya. Meskipun dunia pementasan teater bukanlah asing baginya namun pelakon juga penerbit filem ini yang tidak menyembunyi rasa gementarnya malah mengakui menggalas tanggungjawab yang besar.

"Kenapa saya memilih untuk mengarahkan teater muzikal kerana teater adalah dunia saya. Apabila saya berada di pentas, saya rasa selesa, yakin dan saya rasa saya boleh sumbangkan sesuatu. Namun saya akui berasa gementar tapi saya tukarkan perasaan itu kepada yang lebih positif.

"Saya tahu mengarahkan teater satu kerja yang sangat mencabar kerana di atas pentas, kita tidak boleh sesekali membuat kesilapan. Cabarannya paling besar untuk teater ini, bagaimana untuk membuat penonton merasai pengalaman seperti di dalam stadium,"katanya dengan nada teruja.

Tiara selama ini sinonim dengan karya-karya teater hebat seperti Puteri Gunung Ledang, P. Ramlee The Musical dan The Secret life of Nora, menerusi terbitan produksi miliknya, Enfiniti Group.

Ditanya mengapa beliau memilih untuk mengadaptasi filem bergenre sukan sebagai debut dalam memulakan kariernya sebagai pengarah, Tiara, beliau tertarik dengan karya arahan Chiu Keng Guan itu yamg sarat dengan sarat mesej nilai murni dan memberi inspirasi kepada masyarakat.

"Saya menonton filem Ola Bola sebanyak dua kali di pawagam dan beberapa kali menerusi DVD. Selain menyentuh emosi, naskah ini sarat dengan mesej keharmonian, nilai penyatuan, semangat perjuangan sekaligus memberi inspirasi kepada kita semua.

"Saya juga buat projek yang memberi inspirasi kepada masyarakat dan saya rasa ini adalah langkah terbaik saya untuk saya mula dalam karier pengarahan. Jadi saya mahu penonton terutamanya peminat Ola Bola merasai pula bagaimana suasana menonton Ola Bola seolah-olah betul-betul di dalam stadium. Kalau boleh saya mahu penonton bangun dan sama-sama bersorak laungan Harimau Malaya," jelasnya.

"Dari segi produksi termasuklah rekaan pentas, teknik pencahayaan, saya boleh katakan, pementasan kali ini adalah pementasan yang menelan kos paling besar berbanding teater-teater yang saya terbitkan sebelum ini,' tambah Tiara lagi.

Bakal dipentaskan mulai 22 Februari sehingga 22 Mac 2018, teater muzikal ini bakal menyaksikan Raja Malek sebagai pengarah seni dan set. Manakal Duan (Seven Collared T-Shirt) sebagai pengarah muzik.

Sementara itu, tawaran istimewa bagi pembelian early bird menawarkan harga RM120 bagi tiket yang berharga antara RM250 hingga RM300. Tiket-tiket dengan tawaran harga promosi ini akan mula dijual selama tiga bulan mulai 25 Mei ini. Maklumat lanjut layari www.olabolamusical.com

InstaForex
Powered by Blogger.