Berita Terkini
recent

Khai Bahar harap tuah Luluh

PENYANYI popular, Khai Bahar bakal tampil dengan single ketiga, Luluh selewat-lewatnya selepas sambutan Aidilfitri, kelak.

Lebih istimewa, Luluh adalah hasil ciptaan sendiri penyanyi berusia 23 tahun ini.

Penyanyi ini mencipta Luluh sekitar dua tahun lalu dan pernah muat naik versi akustik di YouTube.

Meskipun baru dalam bidang penciptaan lagu, Khai tetap optimis dengan sambutan bakal pendengar.


“Memang saya sedikit gugup untuk rakam dan jual lagu ciptaan sendiri tapi atas sokongan peminat, saya yakin ia bakal mendapat tempat di hati pendengar.

“Saya juga berterima kasih kepada NAR Records yang memberikan kesempatan untuk menerbitkan lagu Luluh sebagai single baru.

“Sekurang-kurangnya, Luluh tak terperap untuk tempoh yang lama seperti ikan masin,” katanya sambil ketawa.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar, Muhamad Khairul Baharudin ini juga bakal merakamkan semula lagu Halaman Asmara nyanyian asal Datuk Awie dan Ziana Zain, sempena sambutan Aidilfitri nanti.

Penyanyi itu juga bakal berduet dengan pendatang baru, Fatin Husna dan lagu itu dijangka keluar sekitar Ramadan nanti.

Bukan itu saja, Khai turut mengimpikan untuk berlakon, namun kesibukan menyanyi membatasi keinginannya.

“Tawaran tu ada, cuma nanti dulu. Saya mahu fokus menyanyi,” katanya kepada Media Hiburan.

Dalam perkembangan lain, Khai kini menjadi duta kepada produk wangiannya, Bayang by Khai Bahar yang dikeluarkan oleh Rises Perfumes.

Katanya, pelantikan sebagai duta membantu meluaskan lagi skop kerjaya selain berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan, satu hari nanti.

“Saya terima tawaran ini sejak bulan lalu. Ini adalah wangian yang dikeluarkan secara eksklusif dan terhad kepada 5,500 pembeli sahaja.

“Saya sendiri yang memilih bauan ini. Sebenarnya, ini antara produk wangian kegemaran saya," katanya yang mencuba hampir 88 jenis bauan sebelum memilih dua yang terbaik.

Bayang By Khai Bahar dikeluarkan oleh Rises Perfume yang dijual dengan harga RM90 bagi botol bersaiz 30 milimeter.
Powered by Blogger.