F ‘Kereta tu hon mungkin sebab tidak dapat lalu’ | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

‘Kereta tu hon mungkin sebab tidak dapat lalu’

Kejadian sekumpulan jemaah masjid dalam keadaan berang dengan merosakkan sebuah kenderaan yang tular hari ini, dipercayai berpunca daripada tindakan pemandunya yang membunyikan hon ketika solat Jumaat sedang didirikan.

Kejadian yang dirakamkan dalam video berdurasi 1 minit 10 saat itu menyaksikan sekumpulan jemaah masjid sedang memukul kenderaan yang dipandu oleh seorang individu di pekarangan sebuah masjid di Taman Austin Perdana, di sini, petang tadi.

Salah seorang saksi, Muhammad Akmal Bakar, 18, berkata, dirinya menyedari hon kenderaan tersebut mula berbunyi sejak dari rakaat kedua solat Jumaat hingga tamat bacaan doa.

"Saya rasa kereta tu hon mungkin sebab tidak dapat lalu atau keluar jalan ini kerana keadaan jalan yang agak sesak ketika itu.

"Jadi sebaik sahaja saya keluar, dah nampak sekumpulan jemaah sedang mengerumuni  kenderaan tersebut sambil menghentak dan memukulnya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Dia yang pertama kali menunaikan solat di masjid itu turut memberitahu, kenderaan itu kemudian dilihat bergerak ke depan dan mengundur dengan laju untuk mengelakkan daripada terus dikerumuni kumpulan tersebut.

Sementara itu, wakil surau yang enggan dikenali memberitahu pihaknya telah membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut.

"Surau ini telah melaksanakan solat Jumaat sejak beberapa tahun ini dan dalam tempoh tersebut tiada kejadian seperti ini yang berlaku. Ini merupakan kali pertama ia terjadi," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kes berkenaan telah diselesaikan dengan baik oleh kedua-dua pihak selain keterangan juga telah diambil.

"Siasatan awal menunjukkan pengadu yang juga mangsa dalam kes ini membunyikan hon kerana ada sebuah kereta yang menghalang laluannya kira-kira jam 1.30 petang.

"Akan tetapi selepas kereta yang menghalang laluannya dialih oleh seorang lelaki, satu kumpulan lain pula datang dan terus menyerang pengadu serta kenderaan yang dipandunya," katanya.

Ujarnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut dan mahu orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut bagi mengelakkan isu perkauman.

"Polis harap isu ini dapat dihentikan untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, dan sesiapa yang dilihat cuba melakukannya tindakan tegas akan dikenakan," katanya.
ot;1" />
Powered by Blogger.