Berita Terkini
recent

Kemalangan: Gilis pelajar, orang ramai bakar lori

Seorang pelajar tingkatan satu maut digilis sebuah lori selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 70.8 Jalan Sitiawan-Taiping berhampiran persimpangan masuk Kampung Sungai Lubok, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang tadi, mangsa yang dikenali sebagai Izzhanif Danny Abd Rahman dari Kampung Salak Baru, di sini dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, mangsa sebelum itu membonceng motosikal bersama seorang rakannya, Thaqifshah Samsudin, 16.

Menurutnya, dalam kejadian itu, motosikal dibonceng mangsa dipercayai telah bergesel dengan sebuah lori dipandu lelaki berusia 40 tahun.

"Kedua-dua kenderaan berkenaan datang dari arah sama iaitu dari Beruas menghala ke Taiping.

"Namun sebaik sampai di tempat kejadian, motosikal berkenaan dipercayai telah bergesel di bahagian tayar kiri sebelah belakang dan digilis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kemalangan: Gilis pelajar, orang ramai bakar lori

Lori yang dipercayai dibakar orang awam selepas menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian
Dalam perkembangan berkaitan, Harrith Kam berkata, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan.

"Kedua-dua mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut dan bedah siasat," katanya.

Mengulas lanjut, Harrith Kam berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati lori berkenaan telah dibakar oleh orang awam yang tidak dikenal pasti.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Powered by Blogger.