F Kejujuran Saw Teong Hin Dalam ‘You Mean The World To Me’ | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Kejujuran Saw Teong Hin Dalam ‘You Mean The World To Me’

PENULIS masih ingat dalam satu temu bual bersama bekas pemenang Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-18 (2005) bagi filem Puteri Gunung Ledang ini sekitar tahun 2009 tentang keinginannya untuk menghasilkan sebuah filem berbahasa Hokkien.

Kata Saw Teong Hin atau Teong Hin ketika itu, dia mahu berkarya dengan memberikan satu kelainan dari sudut penceritaan selain mahu kembali menyelusuri akar umbinya sebagai seorang anak jati Pulau Pinang.

Masa berlalu dan selepas itu, tiada kedengaran sebarang cerita tentang projek filem berkenaan sehinggalah penulis secara tidak sengaja terlihat tajuk You Mean The World To Me dalam sebuah portal filem untuk senarai filem yang ditayangkan sepanjang bulan Mei.

Ketika itulah, barulah fikiran penulis kembali melayang teringat akan temu bual bersama Teong Hin tentang filemnya itu. Akhirnya, tercapai juga impian dan cita-citanya merealisasikan apa yang dihajatinya selama ini.

Justeru, penulis mengambil peluang untuk menonton filem You Mean The World To Me kerana mahu melihat sejauh manakah jiwa Teong Hin ditumpahkan dalam filem yang menggunakan sepenuhnya bahasa ibundanya itu.

Sementelah, selepas mengarahkan empat buah filem Melayu bermula dengan Puteri Gunung Ledang (2004), Apa Kata Hati (2008), Hoore! Hoore! (2012) dan Jejak Warriors (2015), pastinya ada sesuatu yang mahu dipersembahkan oleh Teong Hin kali ini.

Ditambah pula, berdasarkan pembacaan yang dibuat, filem ini diinspirasikan daripada kisah hidup Teong Hin sewaktu membesar di Pulau Pinang dan hubungan dengan ibunya.

Pertamanya, isu bahasa bukan satu masalah untuk memahami perjalanan filem You Mean The World To Me kerana intipatinya begitu mudah difahami dan dihadam. Ibaratnya, penonton menonton sebuah kisah realiti yang benar-benar berlaku di hadapan mata.

Kelainan yang dipersembahkan oleh Teong Hin kali ini adalah bagaimana lakon layarnya yang penulis sifatkan begitu indah dan unik apabila menyentuh aspek teknikal.

Keunikan yang penulis maksudkan itu adalah apabila You Mean The World To Me itu adalah sebuah cerita dalam cerita yang jarang sekali ditonjolkan dalam penerbitan filem tempatan.

Sebaik sahaja minit pertama filem ini berputar dan memulakan perjalanannya, penulis menyangka ia adalah sebuah filem yang menggabungkan garis masa semasa dan juga masa silam dengan menggunakan teknik imbas semula.

Ternyata, telahan itu meleset apabila secara perlahan-lahan dan sehinggalah ke penghujungnya misteri itu dirungkaikan dengan tepat bagi menjelaskan keseluruhan ceritanya terutama punca permasalahan Sunny (lakonan Frederick Lee) dan ibunya yang dilakonkan oleh pemeran watak ibu dalam sitkom Phua Chu Kang, Neo Swee Lin.

Disebabkan itu, penulis katakan filem ini seperti satu realiti dan dek kerana itu, kejujurannya lebih terserlah serta tidak nampak dibuat-buat. Dalam erti kata lain, lakon layarnya cukup menyakinkan dalam mempersembahkan satu cerita yang memiliki mesej bersifat universal.

Cuma, kelemahan You Mean The World To Me mungkin terletak kepada perjalanan filemnya yang agak perlahan dan terasa kosong. Apatah lagi, tidak banyak skor muzik yang digunakan dan jika disuntik sedikit elemen itu pada babak-babak tertentu, pastinya impak akan lebih dirasai untuk menerbitkan emosi kepada penonton.

Tetapi, sebagai penulis dan pengarah, penulis faham mengapa Teong Hin tidak mahu bergantung kepada skor muzik kerana beliau ternyata lebih selesa mahu menggunakan emosi setiap pelakonnya dalam menterjemahkan karakter masing-masing untuk babak-babak penting.

Tidak salah pun Teong Hin menggunakan cara itu kerana setiap pelakon memiliki karakter tersendiri lalu memberikan warna yang berbeza-beza untuk mencantikkan lagi You Mean The World To Me.
Malah, pengamatan penulis juga melihat bagaimana mesej tersirat yang terkandung dalam watak Sunny itu sendiri yang menterjemahkan siapa sebenarnya Sunny dalam konteks mencari identiti dirinya.
Dari sudut berbeza pula, penulis sifatkan Teong Hin juga sebagai seorang pembikin filem yang bertuah kali ini.
\
Mengapa? Ia adalah kerana filem kelima arahannya ini telah diperindahkan dengan kecemerlangan sinematografi oleh Christopher Doyle (In The Mood For Love, 2000) yang dikenali seantero dunia sebagai salah seorang pengarah fotografi terbaik selain pernah merangkul beberapa anugerah perfileman berprestij dunia termasuk Festival Filem Cannes dan Festival Filem Venice.

Penulis juga percaya You Mean The World To Me bukanlah hanya untuk pasaran tempatan tetapi yakin bahawa Teong Hin mempunyai misi untuk membawa filem ini ke gelanggang festival filem antarabangsa.

Secara keseluruhannya, You Mean The World To Me menawarkan sesuatu yang berbeza daripada filem Melayu terutamanya yang seringkali memberikan cerita lama tiada berkesudahan.
Filem ini biarpun temanya cukup ringkas, namun, ia memiliki jiwa yang cukup besar dan mendalam apabila ia membabitkan konflik dan pengorbanan dalam keluarga terutama peranan dan tugas ibu yang akhirnya akan membuatkan kita sendiri berkata, “Baik atau buruk sekali pun, keluarga akan tetap keluarga sampai bila-bila.”


InstaForex
Powered by Blogger.