Berita Terkini
recent

Irwansyah Akui Pernah Rasa Panik Apabila Popularitinya Semakin Jatuh

NAMA figura ini mula melonjak di Malaysia tatkala filem lakonannya, Heart menjadi antara filem pecah panggung di Malaysia pada tahun 2006.

Namun seiring dengan peredaran masa, nama Irwansyah perlahan-lahan dilupakan oleh peminat di Malaysia, lebih-lebih lagi selepas Irwansyah dan Acha Septriasa dilaporkan berpisah pada 2009.

Mengakui pernah merasa panik apabila popularitinya semakin jatuh dan dalam masa yang sama dia semakin sukar mendapat tawaran berlakon, lelaki berusia 32 tahun ini akhirnya bermuhasabah diri.

"Sebagai umat Islam, kita harus sedar bahawa apa sahaja dugaan yang datang itu ada sebab. Apa yang penting kita tidak harus putus berdoa dan menyerahkan diri sekecilnya kepada ALLAH SWT," ujarnya.

Tambah Irwansyah, dia bagaimanapun merasa kehidupannya kini lebih sempurna dengan kehadiran isteri, Zaskia Sungkar sejak enam tahun lalu.

"Tidak dinafikan ketika awal perkahwinan, ada juga ketikanya kami bertengkar.

"Tapi lama kelamaan kami sama berubah ke arah yang lebih baik dan saya merasakan dia sering membawa saya ke arah yang lebih positif.

"Malah secara peribadi, saya juga merasakan hidup dan kerjaya saya lebih teratur dengan kehadiran dia di sisi, biarpun kami masih belum dikurniakan cahaya mata," jelasnya.

Tambah Irwansyah, dalam banyak keputusan yang dilakukan, dia lebih senang mengutamakan perasaan isteri, biarpun Zaskia tidak pernah memberi kekangan kepadanya.

"Saya rasa harus juga sensitif dengan perasaan isteri. Jadi kalau ada babak intim yang keterlaluan, saya memang akan tolak untuk buat.

"Malah ada ketikanya sehingga kini, masih ada penerbit yang mahu saya berlakon kembali bersama Acha, tapi saya menolak.

"Bagaimanapun Acha pernah berlakon dalam sebuah projek di bawah terbitan syarikat produksi saya dan kami tetap mengutamakan profesionalisme," ujarnya.

Timba pengalaman

Berkongsi perkembangan kerjayanya, Irwansyah berkata, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Dia yang menyaksikan penglibatan pertamanya dalam produksi Malaysia-Indonesia.

Ditanya apa yang membuatkan dia tertarik untuk membintangi drama tersebut, Irwansyah berkata, karakter yang menarik dan mencuba untuk menimba pengalaman baru menjadi antara faktor dia menerima tawaran ini.

"Saya membawakan watak Adit, lelaki Indonesia yang baik dan dengar kata orang tua. Sejujurnya saya rasa tidak sukar untuk menjayakan watak Adit kerana karakter seperti diri saya sendiri.

"Dari segi kerja juga saya rasa lebih mudah kerana penggambaran di sini lebih teratur waktunya dan saya rasa lebih selesa," katanya.

Turut sama berlakon ialah Izara Aisyah, Janna Nick, Adi Putra, Fazlina Ahmad Daud, Zamarul Hisham dan Aleza Shadan. Ia turut dijayakan pelakon Indonesia lain seperti Kevin Andrean dan Sandrinna Michelle.

Selain berlakon, Irwansyah berkata, dia juga merancang untuk merakamkan semula lagu Berdua Lebih Baik, nyanyian Acha sebagai lagu tema drama Dia.

"Di Indonesia, liputan untuk lagu baru itu agar sukar. Jadi saya rasa lebih mudah untuk menyanyikan lagu yang sudah atau pernah popular.

"Saya sudah bertanya dengan komposer lagu itu iaitu Melly Goeslaw dan dia tiada masalah untuk projek itu. Apa sekalipun, kita tunggu saja bagaimana hasilnya,” katanya.

Drama bersiri Dia bakal disiarkan TV3 akhir tahun ini. Ia mengisahkan Adit yang berasal dari Indonesia, mewarisi empayar perniagaan ayahnya di Malaysia dan jatuh cinta pada anak pembantu rumah lakonan Janna Nick.

Lebih versatil

Irwansyah berkata, tidak hanya membawakan watak protagonis sahaja, dia sebenarnya mengimpikan untuk menjayakan watak antagonis.

"Saya pernah membawakan watak antagonis di awal karier saya dan menerima respons yang bagus dari peminat.

"kebanyakan penerbit pula tidak mahu menawarkan watak jahat kerana dia kata saya memiliki muka sedih (ketawa).

"Tapi saya berharap suatu hari nanti, saya akan menjadi pelakon yang lebih versatil pada masa akan datang," akhirinya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.