Berita Terkini
recent

Imran Ajmain Angkat Lagu Yusnor Ef

Penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain bakal tampil dengan album mini bersempena hari raya berjudul Aidilfitri yang mengangkat lagu-lagu gubahan penulis lirik legenda Yusnor Ef.

Imran memberitahu idea untuk merakamkan album itu terhasil selepas pementasan konsert Malam Aku, Dia dan Lagu yang meraikan lagu-lagu gubahan Yusnor di Istana Budaya pada 11 April 2015.
Kata Imran, lagu-lagu dalam album itu dipilih sendiri oleh Yusnor di samping mendapatkan khidmat pemuzik, Along Exists untuk susunan semula melodi dengan menyuntik cita rasa Imran selaku pembawa arah tuju gubahan.

"Alhamdulillah, proses rakaman yang diadakan selama dua hari sekitar Ramadan 2015 berjalan lancar. Susunan semula muzik bertujuan memberi nafas baharu terhadap lagu-lagu ini mengambil tempoh hanya sebulan.

"Bagaimanapun, Bersabarlah Sayang memberi cabaran kepada saya kerana lagu itu pernah dinyanyikan oleh seorang penyanyi hebat sebelum ini, cuma saya agak gembira apabila Cikgu (gelaran Imran kepada Yusnor) mengatakan bahawa nyanyian saya berbeza," katanya.

Selain Bersabarlah Sayang, album itu bakal memuatkan lagu seperti Joget Aidilfitri, Aidilfitri dendangan asal Sanisah Huri dan Suasana Riang Di Hari Raya (Junainah M Amin).

“Sejujurnya, menyanyikan semula lagu klasik terutama menjadi siulan ramai bukan satu tugas yang mudah. Saya harus mengekalkan bunyi-bunyian tradisional.

"Pada waktu sama, susunan muzik harus kedengaran indah pada halwa telinga pendengar selain sebagai apresiasi buat Yusnor yang mula aktif dalam bidang penulisan lirik sejak tahun 1950-an," katanya.

Bercakap mengenai pemilihan Yusnor, Imran berkata, dia sudah lama mempunyai hubungan akrab dengan penulis lirik terkenal itu malah datuknya pernah berkawan rapat dengan lelaki itu.

"Saya teruja apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan Cikgu yang merupakan seorang seniman hebat dengan hasil karyanya masih diperdengarkan sehingga ke hari ini. Ia menjadi antara sejarah manis buat saya sebagai anak seni," katanya.

Album berkenaan boleh didapati dan dimuat turun menerusi Spotify, JOOX dan iTunes.


www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.