Berita Terkini
recent

Gol awal Pahang patahkan semangat Negeri Sembilan

GOL seawal minit ke-6 yang dilakukan oleh Pahang ternyata menyentap semangat pemain Negeri Sembilan pada saingan separuh akhir kedua Piala FA di tempat sendiri malam tadi.

Pengendalinya, Mohd Asri Ninggal berkata meskipun Negeri Sembilan berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-67 menerusi Bruno Suzuki, namun ia disifatkan sebagai agak terlewat kerana Pahang sudah bertukar kepada strategi bertahan.

"Kita kena terlebih awal membuatkan situasi permainan berubah dan memberi tekanan. Jika pemain kita dapat menyamakan kedudukan lebih awal, mungkin suasana permainan akan berubah," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Beliau berkata, Negeri Sembilan menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta banyak peluang.


"Dalam separuh masa pertama, kami mencipta sembilan peluang berbanding empat oleh Pahang. Namun kita tidak berjaya menjaringkan gol dan kita harus terima hakikat bola sepak (kemenangan) adalah jaringan gol.

Mohd Asri berkata, selepas ini Negeri Sembilan mahu memberi tentangan habis-habisan dalam perlawanan Liga Super dan perlawanan lain.

"Apapun saya berpuas hati dengan keseluruhan persembahan pemain Negeri Sembilan kerana mereka sudah berusaha keras dan walaupun kita kalah, tapi kalah dengan bermaruah," katanya.

Sementara itu ketua jurulatih Pahang Dollah Salleh berkata disiplin tinggi dipamerkan pemain Tok Gajah menjadi kunci kepada kejayaan mereka menewaskan Negeri Sembilan biarpun menerima asakan bertali arus daripada jentera serangan pasukan lawan.




Pemain-pemain Pahang meraikan kejayaan mereka setelah mengalahkan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan separuh akhir pusingan kedua Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.


"Alhamdulillah kita berjaya layak ke final dan ia hasil perjuangan sepasukan yang berjaya menyekat usaha Negeri Sembilan yang mendapat sokongan padu penyokong. Disiplin tinggi yang dipamerkan pemain menjadi antara faktor kejayaan Pahang malam ini (tadi),"

"Gol awal yang dijaringkan Jaewon Heo pada minit keenam nyata menyuntik semangat pemain walaupun sebelum itu lawan berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol," katanya.

Dollah berkata, Tengku Muda Pahang yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah memainkan peranan penting dalam membantu pasukan itu meraih kejayaan.

"Baginda banyak membantu pasukan termasuk memberikan pandangan dalam soal pemilihan pemain," katanya.

Pahang menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan dan bakal bertemu Kedah di final Piala FA, setelah Kedah mengalahkan Terengganu dalam satu lagi perlawanan separuh akhir kedua malam tadi.
Powered by Blogger.