Berita Terkini
recent

Faizal Hussein masih jadi buruan hingga kini

LEBIH tiga dekad berada dalam industri dan masih kekal relevan sehingga ke hari ini merupakan pencapaian peribadi terbaik buat pelakon berkarakter, Faizal Hussein, 50.

Meskipun pelakon baru datang silih berganti, bapa kepada dua anak, Fazryn, 12 dan Fazrick, 9, masih berada di tempatnya yang tersendiri.


Muncul buat pertama kali di depan kamera ketika berusia lima tahun, Faizal mula menerima pendedahan awal apabila diminta rakan bapanya, seniman Hussein Abu Hassan untuk memenuhi salah satu peranan pelakon kanak-kanak dalam filem hitam putih, Darah Panglima (1972) yang menampilkan bapanya sebagai hero.

“Ketika itu memang saya belum tahu apa-apa lagi, tapi itulah pendedahan awal di mana saya diperkenalkan dengan set dan cara bagaimana produksi bekerja. Saya sempat berlakon tiga buah filem hitam putih.

“Selepas tu saya tak berlakon lagi sebab nak tumpu pada pelajaran sehinggalah pada tahun 1984 ketika sedang menunggu keputusan SPM. Pengarah Z. Lokman mengajak saya berlakon dalam filem arahannya, Bujang Selamat.

“Pada mulanya saya tidak begitu minat berlakon, tapi bila dah mula kerja sepenuh masa dalam bidang ini, saya cuba beri yang terbaik dan memastikan penampilan saya berbaloi,” katanya.


Meskipun kedua ibu bapanya cukup dikenali dalam bidang seni, Faizal tidak pernah menjadikannya sebagai batu loncatan untuk mudah dikenali dalam bidang seni, sebaliknya dia berusaha mencipta nama dengan usahanya sendiri.

“Mungkin orang fikir jalan saya dalam industri mudah kerana saya anak Hussein Abu Hassan, pelakon dan juga pengarah yang ramai orang kenal, tapi mereka tidak tahu bagaimana saya berusaha memberikan kerja yang terbaik dalam setiap penglibatan saya.

“Platform tu memang dari ayah saya tapi selebihnya bergantung kepada bagaimana cara dan kualiti kerja saya. Secara logiknya orang tidak akan ambil saya berlakon lagi jika saya tak ikut apa yang mereka nak,” katanya.

Nama Faizal mula menjadi sebutan ramai apabila membintangi filem Gila Gila Remaja (1986) yang berjaya meraih kutipan pecah panggung, malah gaya ‘rambut ekor’ yang diperkenalkan menerusi watak Azroy juga menjadi ikutan ramai ketika itu.

“Saya pun tak sangka watak Azroy boleh beri besar dalam kerjaya seni saya, tapi itulah yang berlaku bila kita ikhlas buat kerja tanpa sibuk nak fikir pulangannya.

“Bermula dari situlah saya dapat pelbagai tawaran berlakon, bayaran pun makin meningkat. Saya anggap itu sebagai satu pencapaian buat saya ketika itu,” imbas Faizal.

Digilai peminat wanita

Sehingga kini Faizal telah berlakon hampir 50 filem termasuk Mati Hidup Semula (1986), Tak Kisahlah Beb! (1989), Kanta Serigala (1991), XXRay (1992), Fantasi (1993), KL Menjerit (2002), Abuya (2011), Bunohan (2012) dan Kapsul (2015).

Sementara untuk tahun ini, Faizal bakal muncul dengan lima filem iaitu Tujuh, Aku Abang Long Rajawali, Buntat, KL Wangan dan Tombiruo.

Menurut Faizal, dia tidak mempunyai formula tertentu untuk kekal berada di dalam industri, namun apa yang menjadi amalannya dari awal berada dalam industri sehingga hari ini adalah memberikan yang terbaik dalam apa pun kerja yang dilakukan.

Baginya, peluang dulu tidak banyak sebagaimana yang ada hari ini kerana tidak mudah untuk seseorang pelakon itu mendapat tawaran dalam satu masa.

“Bila selesai satu-satu penggambaran yang kita buat, entah bila pula dapat tawaran baru. Sebab tu pelakon dulu sangat menghargai setiap tawaran yang mereka dapat.

“Masing-masing bekerja dengan sehabis baik dan tidak pernah ada cerita pelakon meninggalkan lokasi walaupun ada masalah berlaku,” ujarnya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin (2012).


Jika rakan-rakan pelakon seangkatannya kini lebih banyak diberikan watak sebagai bapa dan karakter yang lebih ringan, Faizal pula sebaliknya apabila dia masih lagi mendapat watak berkarakter termasuk watak aksi yang begitu sinonim dengan dirinya.

“Alhamdulillah, kepercayaan orang terhadap kebolehan saya masih lagi sama macam dulu walaupun dah berusia 50 tahun dan saya anggap itu sebagai pencapaian peribadi.

“Saya gembira sebab tak pernah ada yang merendah-rendahkan saya termasuklah dari segi bayaran. Mereka realistik dengan cara kerja yang saya lakukan,” akuinya.

Faizal yang pernah menjadi kegilaan ramai peminat-peminat wanita ketika itu juga mengakui menyimpan banyak kenangan manis bersama peminat yang masih diingati sehingga hari ini.

“Dulu peminat susah nak jumpa artis, jadi bila sesekali dapat berjumpa, mereka ni kadang-kala berada di luar kawalan.

“Pernah satu ketika saya buat persembahan di Sarawak, ada peminat yang datang serbu di belakang pentas sambil memeluk dan mencium saya ketika nak bergambar. Saya terkejut, tak tahu nak bagi reaksi macam mana.

“Tidak kurang juga yang hantar surat dan macam-macam hadiah di rumah hingga saya tak tahu nak buat apa melainkan nak kata terima kasih atas sokongan mereka kepada kerjaya saya,” akhirinya.
Powered by Blogger.