Berita Terkini
recent

Elfira buat Sufian 'berbunga bunga'

PENYANYI Sufian Suhaimi mengakui pelakon Elfira Loy adalah teman istimewa yang mengisi hidupnya ketika ini.

Sufian berkata, hubungan mereka masih di peringkat awal dan sedang mengenali hati budi masing-masing.


"Kalau nak cakap kami bercinta bunyinya terlalu kebudak-budakan. Lebih tepat jika saya katakan dia wanita istimewa dalam hidup saya,” katanya.

Menurut Sufian, sejak berkawan rapat dengan Elfira, pelakon dan pengacara popular itu banyak mengajarnya selok-belok dunia hiburan selain menjadi tempatnya meluahkan masalah.

“Saya mula kenal rapat dengan Elfira apabila menghadiri majlis ulang tahun kelahirannya pada Mac lalu dan menghadiahkan dia 23 kuntum bunga.

"Elfira pendengar yang baik. Dia sentiasa ada sekiranya saya mahu meluahkan perasaan dan masalah.

"Keluarga saya dan Elfira tahu mengenai persahabatan kami. Hubungan saya dengan ibunya juga baik. Bagaimanapun, terlalu awal rasanya untuk berbicara lebih jauh mengenai hubungan kami," katanya.

Jelas Sufian lagi, apa yang bakal berlaku terhadap perhubungan itu dia serahkan sepenuhnya kepada takdir.

“Kita tidak pernah tahu apa akan jadi pada masa depan. Kami selesa berkawan dan memilih membiarkan segala-galanya mengalir mengikut aturan Ilahi.

"Setakat ini, belum ada perancangan untuk ke fasa lebih serius,” katanya.

Ditanya adakah dia bersedia berdepan dengan reaksi pelbagai pihak terutama peminat, Sufian berkata dia perlu membiasakan diri meskipun pada awalnya memilih untuk tidak terlalu terbuka.

"Saya harus profesional dalam soal ini. Apabila bergelar selebriti, perkara sebegini pasti jadi perhatian dan saya perlu membiasakan diri.

"Bagaimanapun saya lebih selesa berkongsi perihal karier berbanding kisah peribadi.

"Siapa yang mengikuti akaun Instagram saya pasti tahu saya jarang memuat naik gambar bersama Elfira kerana tidak mahu terlalu terbuka,” katanya.
Powered by Blogger.