F Dunia seni matangkan diri | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Dunia seni matangkan diri

KATA orang, tidak salah memasang angan, apatah lagi impian diangan-angankan itu dilihat realistik dengan keupayaan seseorang. Itulah yang boleh Media Hiburan perkatakan mengenai bintang yang dilahirkan menerusi program realiti Akademi Fantasia 2015, Syamel.

Kata Syamel atau nama lengkapnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 24, dia sebolehnya mahu jadi penyanyi lelaki versatil, tidak hanya terikat satu bidang seni sahaja.

Tambahnya lagi, sebagai penyanyi yang masih boleh dikatakan baru mahu merasai realiti sebenar dalam industri seni, sudah pasti dia perlu terokai perkara baru, lebih-lebih lagi terhadap sesuatu yang boleh memberikan manfaat dalam perkembangan kerjayanya.

“Alhamdulillah, sejak sertai AF2015, rezeki dalam dunia seni tetap ada dan ramai tahu single pertama, Hidup Dalam Mati.

“Meskipun ada kisah tersendiri di sebalik lagu tersebut, namun ia setidak-tidaknya beri saya ruang perkenalkan diri kepada pencinta muzik tempatan,” kata bintang muda berasal dari Kuala Lumpur ini.

Enggan menoleh ke belakang, Syamel optimis mahu fokus terhadap kerjaya seterusnya dan memberikan yang terbaik untuk peminat setianya.

“Apa yang boleh cakap, semua yang berlaku setakat ini mematangkan diri. Sejujurnya, kalaulah tidak ada keluarga, teman rapat sokong, sudah tentu saya sebagai orang baru tidak boleh hadapi cabaran sendiri. Bagaimanapun, ia tidak pernah mematahkan semangat saya,” tambahnya lagi.

Jelas Syamel, ketika mula-mula muncul single sulung tidak lama dulu, dia banyak dapat feedback positif dan sebaliknya.

“Jadi, dengan berkat sokongan semua, ia matangkan diri saya dan alhamdulillah, selepas itu saya dinobatkan Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik 22.

“Saya percaya setiap perkara yang berlaku ada hikmah dan saya belajar mengenali diri sendiri pada waktu itu.

“Sesungguhnya ia beri semangat dan pengalaman baru dan selepas itu saya sertai pula DuoStar dan Alhamdulillah, masih ada rezeki untuk saya,” akui Syamel.

Sementara itu, penyanyi lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari KLMU ini sempat merakamkan rasa bertuah apabila menyertai AF lebih dua tahun lalu.

“Saya bertuah kerana lahir daripada AF dan dari situ jugalah saya berpeluang bertemu idola seperti Datuk Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah.

“Tidak sangka dalam tempoh sesingkat itu, saya dapat bersua dengan mereka,” ujar Syamel yang kini rancak mempromosikan single bersama Ernie Zakri, Aku Cinta.

Pertama kali rakam lagu duet

Keupayaan dalam penulisan lirik dan lagu dilihat sebagai platform terbaik buat Syamel dalam merencana kerjaya seninya pada masa depan.

“Lagu tersebut menjadi runut bunyi untuk drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati dan kalau nak diikutkan, lagu itu sudah mula dilancarkan selepas DuoStar berakhir Februari lalu. Cuma akhir-akhir ini Aku Cinta mula mendapat perhatian pendengar.

“Saya tulis lagu tersebut ketika masih bersaing dalam DuoStar dan memang saya berhasrat untuk rakam sebuah lagu duet memandangkan saya bergandingan dengan Ernie. Malah saya sendiri belum pernah ada lagu duet sendiri.

“Kemudian saya fikir mengapa tidak? Ernie pun sedia dikenali sebagai penyanyi yang bagus dan jiwanya juga besar.

“Jadi chemistry yang kami cipta sepanjang di DuoStar lalu diterjemah terhadap lagu ini,” akui Syamel yang turut memberitahu, dia mencipta lagu tersebut dalam tempoh sehari saja.

“Masa tu saya dalam kereta dan tiba-tiba dapat ilham buat lagu. Saya hasilkan melodi dan liriknya sekali. Bila sudah siap, saya beri pada Cikgu Edry (KRU) dan kami touch up apa yang patut.

“Alhamdulillah, akhirnya lagu itu siap dirakam dan kelainan yang ada untuk Aku Cinta sudah tentulah dari aspek muziknya yang lebih mendayu dan punyai mood orkestra,” bicaranya lagi.

Bangga kebangkitan rakan seangkatan

Ditanya kebangkitan artis baru yang kini mulai mendominasi senario muzik tanah air, Syamel turut meluahkan rasa bangga terhadap rakan artis seangkatannya itu.

“Siapa tidak gembira bila tengok rakan artis seangkatan mula sukses lagu masing-masing? Contohnya Aiman Tino dan Sufian Suhaimi. Saya rasa bangga sangat bila mereka berjaya masuk di Anugerah Juara Lagu (AJL) lalu.

“Tak boleh bayangkan kalau saya berada di tempat mereka. Aiman yang masih muda pun boleh nyanyi dengan baik di pentas sebesar itu.

“Kalau boleh, saya pun mahu pasang azam untuk buat persembahan di AJL, insya-ALLAH,” akhiri Syamel yang turut mempunyai single solo, Lebih Sempurna.
InstaForex
Powered by Blogger.