F Diiktiraf kali keenam | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Diiktiraf kali keenam

Nama Mahdi Moudini barangkali tidak asing dalam kalangan peminat silap mata di sekitar Kuala Lumpur dan orang kenamaan.

Ini kerana ahli silap mata kelahiran Teheran ini sering tampil dengan persembahan ilusi yang memukau dan menakjubkan penonton.

Moudini sering diundang mengadakan persembahan untuk majlis membabitkan pembesar negara, makan malam korporat dan tidak ketinggalan untuk program TV antaranya Anugerah Skrin anjuran TV3.

Dia yang mempelajari seni magik sejak usia lima tahun kini menguasai lebih 1,500 teknik silap mata yang diperolehi menerusi latihan keras dan bersungguh-sungguh.

Oleh itu, tidak menghairankan apabila Moudini, 37, sekali lagi mendapat pengiktirafan Tokoh Merlin kali keenam sebagai Magician of The Year 2017 yang berlangsung di sebuah hotel terkenal di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Anugerah ini diterima daripada badan ahli silap mata berprestij dunia, International Magicians Society (IMS) dan disampaikan oleh presidennya, Tony Hassini.

“Ramai yang mengimpikan pengiktirafan ini. Malah untuk bertemu Tony sendiri bukan satu perkara mudah. Dia adalah mentor saya.

“Saya bangga kerana persembahan diiktiraf pelbagai pihak termasuk kerajaan Malaysia. Bahkan saya juga pernah terbabit mempromosikan Malaysia kepada negara luar menerusi persembahan magik,” katanya kepada BLING!

Moudini yang menetap di Malaysia sejak 19 tahun lalu, mengahwini wanita tempatan, Michelle Goh Abdullah, 34, yang juga pembantunya di pentas. Mereka dikurniakan dua anak, Marchelin, 8, dan Prince Maddix, 6.

Dia yang memperturunkan ilmu silap mata kepada mereka kini merancang mengadakan bengkel pembelajaran silap mata buat pelajar sekolah rendah seluruh Malaysia.

Menurutnya, mempelajari magik tidak merugikan pelajar kerana dapat menyemai dan membentuk disiplin.

Sementara itu Tony berkata, Moudini mempunyai keistimewaan tersendiri yang melayakkannya menerima Anugerah Merlin buat kali keenam.

“IMS mempunyai 37,000 ahli di seluruh dunia dan setiap tahun kami sentiasa mencari pembaharuan yang ditampilkan oleh penggiat magik.

“Penilaian dibuat menerusi video yang dihantar dan kami mendapati Moudini layak menerimanya buat kali keenam kerana persembahan magik yang ditampilkan.

“Saya mencadangkan kerajaan Malaysia mewujudkan sebuah lokasi untuk persembahan magik yang besar seperti di Las Vegas, Amerika Syarikat,” katanya.
ot;1" />
Powered by Blogger.