Berita Terkini
recent

Diam-diam Minat Fazura

Impian penyanyi Jason Dy, mahu berkolaborasi dengan Nur Fazura akhirnya terlaksana menerusi single duet mereka bertajuk, Nothing Like Pag Ibig.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan jolokan Raja R&B Filipina ini, dia mula meminati dan mengikuti serba sedikit perkembangan mengenai selebriti jelita itu selepas menonton rancangan realiti terbitan E! Facing Up to Fazura.

Sejak itu dia mula menyimpan hasrat mahu berkolaborasi dengan Fazura. Kemudian keinginannya itu disuarakan kepada pihak pengurusannya.

"Saya menonton program realiti beliau. Dari situ saya mula mengenali dan tahu serba sedikit mengenai diri beliau. Dia seorang yang sangat berbakat. Sejak itu saya menyimpan hasrat satu hari nanti saya mahu berkolaborasi dengannya.

"Saya nyatakan keinginan itu kepada pengurusan saya dan tidak lama kemudian saya diberitahu akan berduet satu lagu dengan Fazura. Saya sangat teruja. Ini juga merupakan pertama kali saya berduet dengan artis yang bukan dari negara saya.

"Saya ingin mengetengahkan kuasa muzik dan bagaimana muzik mampu menyatukan sesama kita tanpa mengira bahasa," katanya.

Jason atau nama sebenarnya Jason James Dy, 26, ditemui pada pelancaran muzik video karaoke Nothing Like Pag Ibig, bertempat di Redbox pusat membeli belah The Garden, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai proses merakamkan lagu tersebut, juara The Voice of Philippines musim kedua ini berkata, sepanjang rakaman dia dan Fazura melalui pengalaman menyeronokkan.

"Proses rakaman lagu ini cuma beberapa jam sahaja. Dan kemudian terus pembikinan muzik video dijalankan. Saya dan Fazura tidak mempunyai masalah sepanjang rakaman sebaliknya kami berseronok," tuturnya.

Sementara itu, muzik video lagu tersebut telah ditonton hampir 35 ribu kali di YouTube sejak dimuat naik pada Februari lalu.

"Sambutan terhadap lagu ini di negara saya juga sangat hangat. Lagu ini sudah menduduki tangga teratas carta muzik stesen muzik nombor satu di Filipina sejak tiga bulan lalu," beritahu Jason.

Selain itu, Jason dan Fazura turut merakamkan satu lagi versi bertajuk Nothing Like Cinta Ini.

Perkembangan lain, pasangan duo ini bakal membuat persembahan di Festival Filem Antarabangsa Asean di Kuching Sarawak pada 6 Mei ini.
Powered by Blogger.