F Dazrin pilih pramugari, nikah 6 Mei | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Dazrin pilih pramugari, nikah 6 Mei

Lebih setahun menjalinkan hubungan, Dazrin Kamarudin mengambil keputusan untuk terus bernikah dengan wanita pilihannya, Nur Fazulin Razali.

Atas faktor itu, pelakon berusia 29 tahun ini memilih untuk tidak mengikat tali pertunangan sebaliknya terus mengadakan acara wajib iaitu bernikah.

"Pada saya, jika bertunang pun, ia akan menuju ke arah perkahwinan.

"Bila bertunang pula, dah tentu mahu buat persiapan kahwin.

"Jadi, baik saya kahwin terus. Saya pun makin lama bukannya makin muda (ketawa),” katanya pada Kakigosip.

Dazrin dan Nur Fazulin bakal dinikahkan di Hotel Avillion Legacy, Melaka pada 6 Mei ini.

Kurang 48 jam bergelar suami, pelakon drama bersiri Adam & Hawa ini mengakui gementar menantikan detik untuk disatukan dengan pasangan hidupnya itu.

“Berdebar-debar? Itu dah satu kepastian bukan lagi persoalan.

“Tapi, saya rasa keadaan itu adalah sesuatu yang bagus. Jika debaran tak ada, kita tak berhati-hati dengan kata-kata, tingkah laku mahupun pendirian.

“Jadi, saya rasa debaran itu satu langkah yang baik demi memperingatkan pada apa yang bakal dilakukan dan dilalui,” katanya.

Dazrin dan bakal isterinya, Nur Fazulin yang juga ketua peramugari berkenalan secara tidak sengaja menerusi aplikasi Smule.

Bahkan, katanya, penyertaannya dalam program realiti, Gempak Superstar yang menjadi punca kepada perkenalan mereka.

“Sebenarnya aplikasi Smule yang telah mempertemukan kami kerana minat kami terhadap nyanyian.

“Saya pula menggunakan aplikasi itu demi memperbaiki mutu nyanyian saya sebelum dipersembahkan dalam konsert program tersebut.

"Sejak itu, hubungan bertambah akrab walaupun dia jarang berada di Kuala Lumpur kerana bekerja sebagai pramugari berpangkalan di Jeddah untuk menguruskan jemaah Haji dan Umrah.,” katanya.

Tambahnya, kekasih hatinya itu merupakan seorang yang berkarisma dan berdisiplin sekali gus memenuhi ciri-ciri wanita impiannya.

“Pada saya, dia mempunyai pengurusan masa yang bagus.

“Dia juga banyak membantu saya dalam membuat keputusan penting.

“Jadi, timing dia untuk hadir dalam hidup perfect kerana saya memang perlukan orang macam ini untuk aturkan hidup saya sekali gus menjadi teman hidup saya,” katanya.

Dalam pada itu, semakin dekat hari pernikahan, bintang filem Apokalips X ini tetap sibuk dengan karier seninya.

“Saya bernasib baik kerana keluarga kami sangat membantu dalam membuat persiapan pernikahan sejak dua bulan lalu.

“Saya pula, tak ada masa untuk bercuti bahkan saya baru saja menerima dua tawaran untuk berlakon drama bersiri daripada dua penerbit berlainan.

“Kedua-duanya berlaku pada tarikh yang sama dan saya sendiri memerlukan masa untuk membuat keputusan.

“Saya harap mereka juga akan faham dengan situasi saya,” katanya.

Pasangan sama cantik sama padan itu juga akan diraikan dalam dua majlis resepsi di dua lokasi berlainan iaitu di Hotel Avillion Legacy dan Hotel Equatorial di Melaka pada 22 dan 23 Julai depan.
ot;1" />
Powered by Blogger.