Berita Terkini
recent

Colleen Ballinger antara YouTubers terkaya

MINAT personaliti Viral Media Hiburan minggu ini, Colleen Ballinger, 30, pada dunia media sosial khususnya Youtube bermula sekitar 2008 lalu menerusi YouTube, Miranda Sings yang banyak berkisarkan cover version lagu-lagu popular selain aksi mencuit hati.

Ketika itu dia mula meneroka bidang tersebut selepas muncul melalui beberapa buah siri teater ketika di sekolah tinggi.



Sejak itu, keyakinan dan minatnya kian bercambah sementelah Ballinger yang lebih sinonim disapa Miranda dalam kalangan peminatnya juga seorang yang gila-gila dan gemar menghiburkan rakan-rakannya.

Namun siapa menyangka, daripada hanya sekadar suka-suka, Ballinger kini sudah disenaraikan sebagai antara YouTubers terkaya selain berjaya terjun dalam dunia glamor serta terlibat di dalam penulisan buku secara komersial.

Raih 1.2 bilion tontonan!

Selain Miranda Sings, Ballinger turut mempunyai satu lagi saluran YouTube iaitu PsychoSoprano dan vlog sendiri iaitu Colleen Vlogs.

Jika dicampurkan kesemuanya, jumlah penonton untuk saluran tersebut sudah pun mencecah lebih 1.2 bilion tontonan dengan lebih 7 juta pengikut.

Terkini, wanita yang berasal dari California, Amerika Syarikat itu juga mengumpul aset melebihi 5 juta dollar AS setahun dan kisahnya turut diangkat ke layar TV web di saluran Neflix berjudul Haters Back Off.



Berkongsi perihal kejayaan yang diraih Ballinger ketika ini, Ballinger akui apa yang berlaku adalah secara spontan dan dia menyifatkan dirinya bertuah kerana video yang pertama kali dimuat naik lebih lima tahun lalu menjadi viral lalu membuka peluang besar buatnya.

“Pada peringkat awal saya hanya buat video untuk kawan-kawan saja. Tak pernah sangka akan ditonton ramai hingga ada yang viral. Jadi bila ramai yang tonton, itu yang membuatkan saya terus muat naik video lainnya.

“Tapi, video viral itu akhirnya buka peluang baik untuk kembangkan apa yang saya lakukan sekarang. Cuma saya kena terus berikan yang terbaik untuk peminat bagi memastikan mereka kekal mengikuti dan menonton video yang dihasilkan.

“Saya sendiri tidak tahu bila watak Miranda ini akan berakhir. Apa yang saya tahu, saya suka lakukannya dan bangga dengan ‘Miranda’,” katanya jujur ketika ditemu bual media tempatan.



Ditanya apakah yang memberi inspirasinya dalam dunia maya, Ballinger memberitahu, dia mula mendapat keberanian itu apabila bertemu dengan ramai orang yang punyai personaliti pelbagai.

“Saya suka menyanyi dan minat tu berkembang pada lakonan pula. Lalu saya cuba fokus dalam dua bidang ni.

“Ketika itulah, saya banyak bertemu dan berkongsi idea dengan ramai orang yang ada macam-macam perangai. Dari situlah idea watak Miranda tercetus,” akui Ballinger yang turut sukses dengan buku berjudul Selp-Helf yang dilancarkan pada Julai 2015 lalu.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.