Berita Terkini
recent

Cinta Terakhir untuk bapa

Penyanyi iR Radzi mendedikasikan lagu ciptaannya, Cinta Terakhir, untuk Allahyarham bapanya, Jamali Ellen yang meningggal dunia, Ogos tahun lalu.

Ketiadaan bapanya itu amat dirasai iR kerana arwah banyak menyokong kerjayanya dalam bidang nyanyian dan selalu menemaninya di studio rakaman.


“Cinta Terakhir adalah luahan perasaan seorang anak kepada bapa. Saya rasa terlalu cepat bapa ‘pergi’ namun ia sudah ditentukan Allah SWT. Saya masih memerlukannya kerana Allahyarham juga teman dan rakan baik saya.

“Bagaimanapun, saya tidak terkilan kerana bapa sempat melihat anak saya yang juga cucu pertamanya. Dengan pemergian bapa itu juga saya terpaksa melupakan hasrat untuk menetap di Kuala Lumpur kerana sebagai anak lelaki saya bertanggungjawab mengambil alih menjaga urusan keluarga di Kuching, Sarawak,” katanya.

iR adalah anak kedua daripada empat beradik dan anak lelaki tunggal dalam keluarga.

Lagu Cinta Terakhir disisipkan dalam album iR berjudul Sempurna yang turut memuatkan tujuh lagu lain iaitu Kontra Andisa, Sempurna Waktu, Stay, Maafkan Aku, Bujang Duda, Tell Me Why dan Berikan Masa.

“Album Sempurna berkisar kepada peristiwa berlaku di sekeliling saya yang mengandungi pelbagai rasa dengan konsep lagu balada dan pop rock. Semua lagu itu akan dimuat naik di iTunes dan lepas raya ini barulah album fizikal berada di pasaran.

“Kebanyakan lagu ciptaan saya sendiri tetapi ada dua tiga lagu mendapat sentuhan daripada komposer Malaysia dan Indonesia. “Asalnya, saya jangkakan album itu siap dalam masa lima tahun tetapi selepas menemui syarikat penerbitan Cloudworks Entertainment, dalam dua tahun ia sudah jadi kenyataan,” katanya.

Meskipun iR tidak terlalu berharap pada jualan album namun sebagai penyanyi dia perlu ada album.

“Semua orang boleh menyanyi tetapi yang membezakan dengan penyanyi sebenar, mereka hadir ke dunia seni dengan album,” katanya.

Perkembangan lain, iR gembira kerana kebanyakan lagu nyanyiannya menjadi lagu tema drama dan perkara itu tidak pernah dirancang.

“Mungkin kerana ia lagu dan lirik saya sendiri, menjadikan karya itu dekat dengan pendengar malah kena dengan jalan cerita drama serta telefilem kerana ia berkisar kepada pengalaman sendiri, cerita mereka yang berada di sekeliling saya dan cinta.

“Lagu saya banyak dipengaruhi melodi dari Indonesia dan setiap lagu itu diilhamkan mengikut ‘rasa’ saya ketika itu. Apabila segala rasa dalam diri saya bersatu, lagu itu kedengaran lebih ikhlas, tulus dan jujur,” katanya.
Powered by Blogger.