F Cikanos beri kejutan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Cikanos beri kejutan

Seminggu sebelum final Lawak Vaganza Hot FM berlangsung, kumpulan Cikanos bangkit menunjukkan bisa sketsa lawak mereka.

Mereka diundi sebagai juara minggu keempat de­ngan 32 peratus, meninggalkan kumpulan Rock Joca dan MTD dengan peratusan undi masing-masing 23 peratus, 24 peratus dan 21 peratus.

Anas Ridzuan dan Chiwan Chilok berjaya meraih undi majoriti dengan berbekalkan sketsa kucing yang petah berkomunikasi dalam pelbagai loghat negeri di Malaysia.

Dengan kemenangan Cikanos kali ini, kehangatan perang Lawak Vaganza Hot FM semakin panas bersiaran melalui frekuensi stesen radio serta ruang digital dan laman media sosial Hot FM.

Sebanyak RM30,000 dipertaruhkan untuk ming­gu terakhir ini sekali gus bakal menobatkan mereka sebagai juara keseluruhan Lawak Vaganza Hot FM musim kedua.

Bukanlah mudah pula cabaran pada minggu final ini apabila setiap kumpulan diwajibkan mempersembahkan 2 sketsa yang berbeza temanya.

Tema pertama berkisarkan musim manakala tema kedua, mereka dikehendaki untuk bersketsa bersama selebriti pilihan masing-masing.

Cikanos memilih Mira Filzah bagi melengkapi sketsa mereka.

Shahrol daripada duo lawak popular Shiro bergandingan dengan Rock dan MTD pula berasakan Syaiful Zero sebagai pilihan yang tepat untuk bersama mereka.

Joca pula meletakkan harapan di bahu Sharif Zero untuk memastikan wang tunai RM30,000 kepu­nyaan mereka.

Selain sketsa yang dimainkan audio melalui frekuensi Hot FM, video sketsa itu juga boleh ditonton melalui laman web rasmi Hot FM, Facebook hotfm976 serta YouTube Hot TV.

Seperti biasa, undian pendengar amat diperlukan dalam menentukan juara dalam pertarungan juara komedi radio dan digital.

Undian boleh dilakukan melalui www.hotfm.com.my bermula Isnin, 1 Mei 2017 dan akan ditutup tepat 6 petang pada hari Ahad, 7 Mei 2017.

Kemuncak Lawak Vaganza bakal bersiaran secara langsung pada Isnin ini, 8 Mei 2017 seawal jam 7 pagi melalui slot Geng Pagi Hot.

Acara ini juga bakal diserikan dengan kehadiran artis popular tanah air seperti Hael Husaini, Tajul Arif dan Ismail Izanni yang bakal menyanyikan lagu siulan anak muda masa kini.

Selain itu, kehadiran kelab penyokong kumpulan Lawak Vaganza Hot FM juga akan memeriahkan suasana pagi itu dengan sorakan semangat untuk peserta yang disokong.

Acara ini juga akan bersiaran serentak secara langsung melalui FB Live Hot FM bermula jam 7 pagi hingga 9 pagi kelak.

Jadi, siapakah yang bakal bergelar Juara Komedi Radio serta Digital, Lawak Vaganza Hot FM musim kedua?

Adakah Rock, Joca, MTD atau Cikanos bakal menjulang gelaran juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM30,000?

Sama-sama kita nantikan keputusannya Isnin nanti.
ot;1" />
Powered by Blogger.