F Cari Pendapatan Lebih, Afiq Muiz Bisnes Rak Kasut Kayu | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Cari Pendapatan Lebih, Afiq Muiz Bisnes Rak Kasut Kayu

Dunia perniagaan bukan satu bidang baharu bagi Afiq Muiz kerana sejak dari zaman persekolahan lagi dia sudah mula berniaga.

Menurut pemilik nama sebenar Muhamad Afiq Muiz Azman Shah, 25, dia pernah menjalankan perniagaan seperti menjual burger dan nasi lemak.

Terbaru, pelakon drama Menanti Februari ini memberitahu dia baru memulakan perniagaan rak kasut menerusi online sejak sebulan yang lalu.

Bersama beberapa rakan kongsi, Afiq berkata, cabang perniagaan yang diceburinya ini masih baru dan belum lagi diusahakan oleh usahawan lain.

"Selain berlakon, saya juga berniaga sebagai side income. Saya memang sudah biasa dan minat berniaga sejak dari zaman sekolah lagi. Dulu saya pernah jual burger dan nasi lemak.

"Saya baru jalankan bisnes rak kasut berasaskan kayu. Kenapa saya pilih jual rak kasut kerana perniagaan ni 'rare' dan setakat ini belum ada yang buat macam kami.

"Kami tawarkan rekaan rak kasut yang kreatif atau pelanggan boleh berikan idea mereka dan kami akan hasilkannya di kilang kami yang terletak di Balakong. Buat masa ini jualan menerusi online di instgram @aydeanstone_art," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Ramadan saluran RTM, bertempat di IPPTAR, pada Selasa.

Akui Afiq, walaupun sibuk menguruskan perniagaan namun kerjaya lakonan juga menjadi keutaaman.

"Kedua-dua bidang ini saya suka dan beri saya kepuasan namun saya akui berniaga cabarannya lebih besar. Tetapi setiap perniagaan yang saya jalankan, bukanya saya buat seorang diri tetapi saya dibantu oleh team saya, jadi tidak ada masalah dari segi untuk saya bahagikan masa anatara berlakon dan uruskan bisnes," tuturnya.

Selain itu, beritahu Afiq, menjelang ketibaan Ramadan, dia akan menjual produk makanan sambal jawa menerusi online dan di bazar Ramadan.

Dia juga bakal melancarkan produk pencuci wajah untuk lelaki jenamanya sendiri, M.A Skin Care, tidak lama lagi.

Berkongsi pula mengenai perkembangan seni, Afiq kini sibuk menjalani penggambaran drama 40 episod berjudul Sedingin Cinta Antasia. Drama yang akan ditayangkan di saluran HyypTV itu turut menampilkan pelakon seperti Tasha Shilla dan Syazwan Zulkifli.

Afiq juga bakal muncul menerusi telefilem Kasut Untuk Ayah yang akan ditayangkan di saluran RTM1 pada 10 Jun ini.

Manakala selepas Aidilfitri nanti, dia akan sibuk di lokasi penggambaran drama berantai bertajuk Cinta Maya.

Cakap Hindustan
Dalam pada itu, Afiq berdebar menantikan tayangan filem lakonannya berjudul I'm Not Terrorist yang dijangka bakal berada di pawagam tanah air tahun ini. Filem yang menjalani penggambaran di Kashmir, India itu turut dibintangi aktor Hindustan seperti Farida Jalal dan Gulshan Grover itu.

Kata Afiq, selain berdepan dengan cuaca sejuk sepanjang menjalani penggambaran, filem terbitan produksi tempatan ini juga menuntutnya bertutur dalam bahasa Hindi.

"Sebanyak 99 peratus penggambaran filem ini dijalankan di Kashmir tahun lalu dan lima peratus di Kuala Lumpur. Sepanjang penggambaran di Kashmir, ketika itu cuaca sejuk. Selain itu, saya juga bertutur dalam bahasa Hindi. Dalam filem ini juga saya banyak melakukan aksi berlawan.

"Sebelum ke India, saya mengikuti kelas bahasa Hindi selama sebulan di sini. Mulanya agak sukar untuk bertutur dalam bahasa tersebut, tetapi sepanjang 44 hari di set penggambaran, saya banyak dibantu oleh pengarah dan juga pelakon Hindustan di sana.

"Sikap mereka yang tidak sombong malah melayan saya dengan baik sedikit sebanyak menghilangkan rasa tekanan," katanya yang sekaligus berharap filem pertamanya ini akan mendapat sambutan penonton apabila ditayangkan nanti.

ot;1" />
Powered by Blogger.