F Bukan penat, merajuk pun tidak | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Bukan penat, merajuk pun tidak

Selama lapan tahun membabitkan diri dalam bidang seni, pelawak Nabil Ahmad mengakui dia kini selesa berada di belakang tabir.

Baginya, tempoh itu sudah cukup dia menghiburkan penonton dengan lawak yang dipersembahkannya.


Apatah lagi, dengan kehadiran ramai pelawak baru Nabil berasakan lebih baik peluang diberikan kepada mereka.

“Bukan merajuk atau sudah penat berlawak, tetapi saya rasa lapan tahun itu sudah cukup untuk beraksi di kaca TV.

“Sebaik-baiknya beri peluang pelawak baru dan sokong mereka. Lagipun, sebagai pelawak saya pernah membabitkan diri dalam program realiti lawak dan tahu di mana tahap kemampuan saya.

“Untuk apa saya memaksa diri melakukan lebih lagi jika saya tidak boleh. Saya pernah menyertai Maharaja Lawak Mega (MLM) dan tidak pernah tersingkir, malah menang tempat ketiga dan itu sudah memadai,” katanya.

Selepas enam bulan menubuhkan syarikat produksi Nabil Production, bapa dua anak ini semakin ligat menghasilkan skrip.

Selain itu, dia juga berjinak-jinak mempelajari selok-belok kerja di belakang tabir sebagai penerbit dan penulis skrip.

“Saya mahu mencari sesuatu yang baru. Apabila berehat daripada melawak saya terfikir untuk menghasilkan skrip dan melihat orang pula melawak dengan karya saya.

“Buat pertama kalinya saya akan tampil dengan sebuah sitkom komedi pada awal Jun ini. Ia buah tangan pertama saya.

“Insya-Allah selepas itu saya akan tampil dengan telefilem dan filem pula,” katanya yang selesa tampil di TV sebagai pengacara.

Berkongsi karya pertamanya dengan menerbit­kan sitkom komedi, Nabil berkata, dia mula meminati program seperti itu sejak 2009.

“Ketika itu saya melihat belum ada program komedi yang hebat seperti Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

“Terfikir juga andai satu hari saya dapat menghasilkan sitkom komedi seumpama itu. Alhamdulillah hasrat itu terlaksana dan saya berharap sitkom pertama ini menjadi fenomena sama seperti Pi Mai Pi Mai Tang Tu,” katanya.
InstaForex
Powered by Blogger.