Berita Terkini
recent

Bukan ingin membolot...

Pembabitan penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza dalam bidang perniagaan pakaian sejak dua tahun lalu tidak bermaksud dia ingin mendominasi semua bidang.

Siti, 38, turut menafikan jenama yang diusahakan iaitu Creacion by Siti Nurhaliza bertujuan untuk mengganggu rezeki peniaga kecil yang turut menjalankan perniagaan sama.

Sebaliknya, Siti mengang­gap itu adalah rezeki selain menyifatkan perniagaan terbabit adalah impiannya sejak sekian lama.

“Saya tak tamak. Apa yang diusahakan sekarang memang impian saya sejak dulu lagi yang ingin memiliki koleksi pakaian sendiri. Lagipun, dalam agama, kita digalakkan berniaga. Selagi boleh berniaga saya akan berniaga.

“Saya pun bukan hanya menjual nama saja sebaliknya membabitkan diri dalam setiap perniagaan yang diceburi. Sebagai contoh, saya juga terbabit dari segi konsep dan pemilihan rekaan serta memberi komen mengenai hasil rekaan produk atau koleksi fesyen yang dikeluarkan.

“Paling penting setiap yang dilakukan itu berada pada jalan yang betul dan halal. Bagi saya apabila terbabit dalam bidang perniagaan pakaian ia persaingan sihat dengan peniaga lain. Jauh sekali, saya nak menutup rezeki sesiapa. Masing-masing ada rezeki dan kelebihan,” katanya.

Pada masa sama, Siti mengakui artis mempunyai pengaruh tersendiri sekali gus menjadi satu kelebihan apabila muncul dengan perniagaan atau produk sendiri.

Menurut Siti, perkara itu sedikit sebanyak memudahkannya mempromosikan produk sendiri secara terus kepada peminat baik menerusi laman sosial atau mengadakan sesi beramah mesra.

“Diakui apabila saya menggayakan koleksi sendiri impak dan maklum balas diterima sangat bagus. Pengikut di laman sosial tak berhenti bertanya. Kalau ia satu rezeki, maka kita gunakanlah kesempatan ini dengan sebaiknya,” katanya.

Namun, Siti masih tidak boleh terlalu selesa kerana dia juga terpaksa berdepan dengan cabaran dalam dunia perniagaan.

Antaranya rekaan baju yang diciplak kemudian dijual di pasaran biasa dengan harga yang jauh lebih murah.

“Dalam perkara ini saya tak boleh nak menghalang. Bukan apa rekaan baju sesiapa saja boleh tiru. Cuma ia mengikut kreativiti masing-masing untuk menampakkan rekaan baju itu sedikit berbeza,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti yang bekerjasama dengan Jakel dan Ariani baru saja melancarkan koleksi Anugerah Aidilfitri 2017 Creacion By Datuk Siti Nurhaliza.
Powered by Blogger.