F Bocey sedia bersaing lagi | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Bocey sedia bersaing lagi

BOCEY mencatatkan sejarah tersendiri apabila diumumkan juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017 malam kelmarin, sekali gus menjadikan mereka kumpulan pertama merangkul kejuaraan untuk dua tahun berturut-turut.


Gelaran tersebut melayakkan Bocey yang disertai Achey, Abam dan Fad membawa pulang wang tunai RM500,000 berserta trofi sumbangan Astro.



Walaupun Achey mengalami kecederaan di lutut kanan, namun persembahan tetap mantap di pentas akhir melalui tema bebas dan muzikal.

Abam ketika ditemui berkata, dia tidak berhenti berzikir ketika Datuk AC Mizal mengumumkan keputusan akhir.

“Masa Dzawin dinobatkan pemenang tempat ketiga, ia bermaksud Bocey masih mendahului bersama Shiro. Jadi kami mungkin juara atau naib juara.

“Kami juga tertanya-tanya,adakah kami juara kali ni? Kalau benar, ia adalah kebesaran ALLAH SWT dan juga rezeki kami.



“Jujurnya saya memang terkejut dan tersentak apabila Ali tiba-tiba menerkam dan memeluk saya dari belakang ketika Datuk AC Mizal mengumumkan juara,” katanya.

Menurutnya, mereka berusaha menampilkan persembahan terbaik dalam dua pusingan yang melayakkan mendapat lima 'HA' daripada Datuk Aznil Nawawi dan Neelofa.



“Kami enjoy dengan persembahan dan apabila diumumkan sebagai pemenang, ia takdir ALLAH,” katanya.

Achey pula berkata, Datuk AC Mizal yang bijak bermain dengan emosi peserta ketika pengumuman juara menambahkan lagi debaran di hati.

“Walaupun tinggal dua kumpulan saja, kami tak dapat jangka siapa yang akan merangkul juara,” katanya yang turut diakui oleh Abam dan Fad.

Menyentuh mengenai rahsia Bocey untuk kekal bertiga, dan bertahan dengan kejuaraan tahun ini, Fad berkata, mereka seperti satu keluarga.

“Masing-masing ada keluarga, tapi kami tetap beri komitmen, waktu antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi adalah untuk mencari idea.

“Saban tahun itulah rutinnya, sudah jadi kebiasaan dan jadi juara hari ni, kami rasa penat 'berembun', sangat berbaloi,” katanya   bangga.

Ditanya adakah Bocey akan menyertai MLM tahun hadapan, Abam berkata, sekiranya menepati syarat dan terma yang ditetapkan penganjur, mereka tidak akan menolak.

Tahun terakhir Shiro

Sementara itu, kumpulan Shiro yang membawa mesej mengenai tanah pusaka ketika pusingan kedua final MLM 2017, berpuas hati selepas dinobatkan sebagai naib juara.

Ajak berkata, mereka membuat persembahan seperti yang dirancang.



“Kami tidak kecewa sebab dah faham format undian,70 peratus datang daripada juri.

“Kami turut bersyukur dan berpuas hati kerana lawak-lawak yang ditampilkan mempunyai mesej dan bermoral. Kita bukan buat lawak kosong, cuma terletak kepada penonton untuk menilai dan menerimanya,” katanya.

Ditanya mengenai tanggapan orang ramai yang mengatakan Shiro mengitar semula idea lama untuk persembahan pada pusingan pertama final MLM malam itu, Ajak bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.



“Di pusingan pertama itu, kami bawa lawak mengenai seorang wakil rakyat yang menawarkan janji palsu dan belum pernah menampilkan persembahan sebegitu. "Kalau kata kami ulang balik, memang tak ulang idea untuk persembahan kami,” jelasnya.

Menurutnya, Shiro juga mungkin tidak akan menyertai lagi MLM yang akan datang.

“Sudah dua kali kami mendapat naib juara. Sebelum ini kami dikalahkan oleh Sepahtu.

“Jadi kalau masuk MLM seterusnya, mungkin agak payah nak jadi juara Tambahan pula kami pun dah tua, ramai lagi pelawak baru yang masih muda.

“Puteh juga makin meningkat naik, jadi dalam masa terdekat, Shiro tidak mungkin akan sertai MLM,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM250,000 dan trofi sumbangan Astro bersama pasangannya, Shahrol.

Rezeki ALLAH SWT: Dzawin

Menjadi satu-satunya peserta solo di pentas akhir MLM 2017, Dzawin yang berasal dari Indonesia tidak berharap dan menyangka akan dinobatkan sebagai pemenang ketiga.

Memenangi wang tunai RM150,000 dan trofi, Dzawin berkata, dia bersyukur dan gembira apabila berjaya melayakkan diri sehingga ke pentas akhir.



“Tujuan utama saya datang ke Malaysia menyertai MLM ini untuk cari pengalaman dan beraksi di hadapan penonton di sini.

“Saya jangka hanya bertahan hingga minggu keempat saja, tapi tak sangka  sampai ke pentas akhir dan dapat tempat ketiga. Alhamdulillah, mungkin sudah rezeki,” katanya.

Menurutnya, dia berpuas hati dengan penerimaan peminat.

“Sebagai penghibur, yang penting bukan wang ringgit, tapi penerimaan penonton terhadap hasil karya kita. Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia, Tak sangka akan terima sambutan luar biasa,” katanya yang bercadang untuk aktif di Malaysia selepas ini.

Dzawin berkata, selepas ini, dia akan menyertai seorang rakannya mendaki gunung di Kepulauan Jawa.

“Saya ingin menyendiri seketika, mencari kedamaian mungkin untuk tiga hari.

"Selalunya, kami tidak pergi beramai-ramai, dan itu cara saya mencari ketenangan jauh dari kesibukan kota,” katanya yang akan menggunakan wang kemenangan untuk keluarga serta rakan-rakan yang banyak menyokongnya sepanjang pertandingan.

Zero mohon maaf

Sementara itu, Zero yang menjadi kumpulan disebut-sebut akan merangkul juara tahun ini.

Bagaimanapun keputusan akhir malam kelmarin menyaksikan ramalan peminat jauh tersasar apabila mereka hanya mampu berpuas hati di tempat keempat.

Membawa pulang wang tunai RM50,000 berserta trofi, Shariff ketika ditemui melahirkan rasa sedih kerana telah menghampakan ribuan peminat mereka yang ingin melihat Zero pulang dengan gelaran juara.

“Kami sedih kerana tidak dapat memberi kepuasan kepada peminat. Kami mohon maaf kepada semua, itu sahaja yang kami mampu buat di pentas akhir.

“Pertandingan akhir ini seperti liga bola sepak, ketika malam penentuan, siapa yang bermain dengan bagus, dan menampilkan persembahan terbaik, dia akan menang. Tiada seorang pun dapat menjangkakan apa yang terjadi,” katanya.



Zero yang turut mengikut jejak langkah Shiro juga mengambil keputusan tidak akan menyertai MLM akan datang.

“Mungkin selepas ini, kami mahu beri peluang kepada pelawak baru. Tapi, kalau masih ada rezeki dan hati kami terbuka untuk kembali kepada MLM, kami akan pertimbangkan,” katanya.

Mengimbau kembali penglibatan mereka dalam MLM dan pernah merangkul juara pada 2014, Shariff berkata, ketika itu, kumpulannya mempunyai idea  bagus untuk diketengahkan.

“Berbanding tahun ini, MLM sudah mencapai suatu standard tersendiri yang mana tema yang diberikan juga agak sukar di samping masa yang agak suntuk.

"Tapi kami masih mampu menampilkan persembahan mengikut tema dan syarat. Sebab tu, kadang-kala kami lebih banyak melakukan lawak spontan. Kadang-kadang ia membuahkan hasil yang baik walaupun tidak dirancang,” katanya.

Sementara itu, Syaiful yang dinobatkan sebagai Man Of The Match bersyukur dengan anugerah berkenaan.

“Saya rasa amat gembira dan tidak menyangka akan terpilih untuk memenangi anugerah itu,” katanya.

Kumpulan Puteh hanya mampu berpuas hati di tempat kelima dengan membawa pulang RM15,000 berserta trofi.

Ternyata malam MLM memberi 1001 kenangan kepada peserta dan peminat mereka. MLM 2017 berjaya mencungkil bakat pelawak dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.
ot;1" />
Powered by Blogger.