Berita Terkini
recent

Berlakon Bukan Sebab Tak Laku Main Bola

Bintang sukan, Zaquan Adha, menepis dakwaan kononnya dia kini mula beralih ke dunia lakonan disebabkan kerjayanya sebagai pemain bola sepak kebangsaan kian merundum.

Tegas suami kepada pelakon Ayu Raudhah ini, karier sebagai pemain bola sepak masih menjadi keutamaan dan dia tidak pernah terfikir untuk bergelar pelakon. Jelas pemain pasukan Perak ini lagi, penglibatannya dalam dunia lakon sejak akhir-akhir ini sekadar memenuhi tuntutannya sebagai duta bagi menjayakan iklan komersial.

"Ada yang tanya saya, "dah tak laku lagi ker main bola?". Saya nak jelaskan di sini, karier sebagai pemain bola sepak tetap keutamaan saya. Lakonan, saya rasa saya tidak berbakat.

"Tapi kalau setakat berlakon iklan tu, bolehlah sikit-sikit sebab tak banyak babak. Kalau hendak serius (berlakon), buat masa sekarang memang tidak. Tawaran berlakon banyak, tapi saya tolak.

"Saya cuba jugak berlakon dengan isteri saya tetap tak boleh sebab saya tak pandai berlakon," katanya sekaligus menyangkal desas-desus mengatakan dia beralih ke bidang lakonan kerana sudah tidak laku lagi di arena sukan bola sepak.

Zaquan atau nama Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 29, berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program Ramadan TV3 & tv9, di hotel Mandarin Oriental, semalam.

..

Dia merupakan satu-satunya personaliti sukan yang dipilih menjadi duta untuk kempen tersebut bersama enam lagi barisan artis popular tanah air iaitu Ayda Jebat, Redza Rosli, Mira Filzah, Elfira Loy, Faizal Tahir dan Aizat Amdan.

Baru-baru ini menerusi satu video di Instagram TV3 Malaysia menjadi tular, menunjukkan aksi lakonan Zaquan dan turut menampilkan pelakon Elfira Loy. Video tersebut merupakan 'teaser' promosi untuk kempen Ramadan Raya Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN).

Sementara itu, ditanya adakah dia sebenarnya menolak untuk melibatkan diri dalam dunia glamor kerana takut melalui cabaran dan dugaan sebagai anak seni misalnya berdepan dengan gosip dan kontroversi, Zaquan bagaimanapun berkata, gosip boleh timbul mesikpun dia bukan seorang selebriti.

"Tak payah berlakon pun, dah ada gosip. Tapi bagi saya, bergantung pada kita sendiri. Seperti yang saya katakan, saya tidak berbakat. Isteri saya ada ajar saya berlakon tapi saya tak pandai juga," akuinya sambil melemparkan senyuman.

Mengulas pula mengenai pemilihannya sebagai duta Skuad Terima Kasih Ramadan, Zaquan berkata dia teruja untuk sama-sama menjayakan aktiviti seperti Baazar Syukur Selalu dan Jom Masjid yang akan diadakan dalam bulan ramadan nanti.

"Saya teruja dan rasa bersykur kerana terpilih sebagai duta untuk kempen ini. Di hari-hari lain saya sibuk dengan latihan bersama pasukan. Saya rasa ini lah masa dan peluang saya untuk saya lakukan aktiviti bermanfaat tambahan di dalam bulan yang mulia, bulan Ramadan.

"Saya akan sama-sama sertai aktiviti yang diadakan tapi mungkin hanya di beberapa lokasi kerana bergantung pada jadual latihan saya.," tuturnya.
Powered by Blogger.