F Berkat Doa Ibu-Bapa, Fattah Tutup Buku Tentang Cinta | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Berkat Doa Ibu-Bapa, Fattah Tutup Buku Tentang Cinta

Populariti mendadak aktor Fattah Amin yang dikecapinya tahun ini adalah rezeki dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

Pelakon yang popular menerusi drama Suri Hati Mr Pilot ini juga mengakui tuah itu merupakan berkat doa ibu-bapanya selama ini.

Selain itu, penulis buku 99 Kata-Kata Fattah Amin ini berkata, anugerah Bintang Paling Popular ABPBH30 yang diterima pada malam Ahad adalah hasil usaha dan kerja kerasnya sepanjang tahun ini.
"Alhamdulillah, rezeki ini memang tidak dijangka. Ini adalah hasil kerja saya sepanjang tahun yang mana sehingga hari ini saya belum pernah bercuti walaupun sehari.

"Macam semua tahu, semua benda saya nak buat, tapi saya tidak kisah tiada cuti dan tidak pernah rasa penat kerana saya suka dengan apa yang saya buat," ujarnya.

Fattah ditemui pada sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian 30 (abpbh30) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), dekat sini, malam Ahad.

Penyanyi lagu Wanita Terakhir itu memenangi kategori Bintang Paling Popular dan Pelakon Lelaki Popular dan membawa pulang sebuah kereta Peugeot 408.

Sementara itu, ditanya sama ada kerja keras tanpa rehat berikutan mengalami kekecewaan atau patah hati, Fattah berkata, ia tidak mahu lagi bercakap tentang cinta.

"Saya sudah tutup buku dan tidak mahu komen tentang hal yang sudah berlalu. Jodoh, rezeki yang saya dapat dan ajal adalah tiga perkara yang saya tidak boleh jangka. Namun buat masa ini tiada sesiapa lagi dan seperti jawapan klise artis lain, sekarang masa untuk saya bekerja," ujarnya.
Fattah sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan aktres gandingannya dalam drama Suri Hati Mr Pilot iaitu Neelofa. Bagaimanapun hubungan tersebut tidak bertahan lama.

Sementara itu, Fattah mengambil kesempatan tersebut mengucapkan terima kasih kepada peminat-peminatnya yang berusaha keras menyokong kerjayanya selama ini.

"Kalau boleh saya mahu pecahkan trofi ini dan bagi kepada mereka kerana saya tidak tahu bagaimana nak balas apa yang mereka buat kepada saya.

"Saya akan memastikan melakukan yang terbaik dalam apa juga bidang sebagai penghargaan kepada mereka," ujarnya.


InstaForex
Powered by Blogger.