F Ben Nathan kembali dengan rindunya | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Ben Nathan kembali dengan rindunya

Penyanyi Ben Nathan yakin menyajikan persembahan terbaik pada Konsert Kasih dan Harapan Ben Nathan yang akan berlangsung di Saloma Bistro, Jalan Ampang, di sini, pada 21 Mei ini.

Kekuatan semangat dipamer penyanyi itu dapat dilihat sejak hidup sekian lama dalam gelandangan.


Ben kali terakhir membuat persembahan 27 tahun lalu berkata, dia kini semakin sihat dan lebih yakin berbanding sebelum ini.

“Keadaan saya beransur baik cuma batuk-batuk saja. Sememangnya saya rindu untuk kembali membuat persembahan.

“Walaupun masih dalam proses rawatan, ia tidak menjadi penghalang untuk saya tampil dalam konsert itu,” katanya.

Ben sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas hidup sebagai gelandangan sejak 27 tahun lalu.

Dia kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Petaling Jaya.

Konsert anjuran Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) dengan kerjasama Jojo Events itu diadakan bagi membantu penyanyi popular era 1980-an itu.

Presiden YA1M, Datuk DJ Dave berkata, ini adalah proses bantuan fasa kedua kepada Ben atau nama Islamnya, Ben Adam Abdullah.

"Fasa pertama sudah berlangsung dengan jayanya apabila pihak YA1M membantunya mendapatkan rawatan dan tempat tinggal.

"Dalam konsert itu, Ben akan mempersembahkan empat lagu popularnya antaranya Stanza Sepi Sekeping Hati dan Ilusi Satu Pernantian," katanya.

Selain Ben, ia juga akan membariskan beberapa artis popular sezamannya seperti DJ Dave, Datuk M Nasir, Nash, Fredo, Aris Ariwatan dan Sahara Yaacob.

Menurut Dave, hasil jualan tiket konsert itu akan disalurkan ke tabung khas untuk Ben.

"Pihak kami akan membuka tabung khas untuk Ben dan dana yang berjaya dikutip itu akan digunakan untuk perubatan, kebajikan dan keperluan Ben," katanya.

Powered by Blogger.