Berita Terkini
recent

Belum nampak gerak kerja

Projek pembesaran dan naik taraf jalan Damar Laut menuju ke Simpang, Taiping perlu dipercepatkan bagi memastikannya siap seperti yang dijadualkan.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, projek berkenaan sudah dijanjikan oleh kerajaan akan dilaksanakan sejak 2008 lalu, namun sehingga kini belum menampakkan hasil.

Menurutnya, laluan itu akan dinaik taraf dari dua lorong kepada empat lorong kerana menjadi laluan utama untuk ke utara dan selatan.

“Saya sudah berkali-kali menyuarakan perkara itu dalam sidang Parlimen kerana ia belum menampakkan pergerakan kerja yang dibuat,” katanya dalam sidang media, semalam.

Koo Ham berkata, pada sidang Parlimen 7 Mac lalu, kerajaan persekutuan memberikan jawapan bahawa projek itu yang dianggarkan melibatkan jarak sejauh 70 kilometer memerlukan kos sebanyak RM1.15 bilion.

"Projek ini melibatkan lima pakej naik taraf, namun hanya dua pakej iaitu dari Kampung Batu Tiga ke Segari dan dari Segari ke Kampung Tebuk Yan melibatkan jarak sejauh 17 kilometer sahaja kerana peruntukan tidak cukup.

“Projek ini juga dikatakan baharu sahaja dimulakan dan dijangka siap Disember 2018. Namun hingga kini boleh dikatakan perjalanan projek berkenaan agak perlahan dan kita harap tidak berlaku sebarang isu kelewatan,” katanya.

Beliau berkata, bukan sahaja isu laluan berkenaan, kerja-kerja naik taraf jalan persekutuan juga turut mengalami masalah.

“Banyak jalan yang sepatutnya diturap dan dinaik taraf tidak dilakukan. Bila kita ajukan soalan pihak berkenaan mengatakan tiada peruntukan.

“Akibatnya jalan-jalan berkenaan hanya ditampal sahaja dengan kualiti tampalan kurang bagus. Keadaan jalan menjadi tidak rata dan memberi rasa kurang selesa kepada pengguna," katanya.

Katanya, perkara itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan jalan penyelesaian terbaik harus dilakukan.

“Saya mahu Menteri Kerja Raya dan Menteri Pengangkutan menjawab isu ini supaya rakyat tidak lagi tertanya-tanya,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.