Berita Terkini
recent

Bangsa Koyak suara manusia tertindas

Sambutan menggalakkan terhadap pementasan teater Isolasi pada Februari lalu mendorong Dramatis Studio untuk membuat pementasan teater seterusnya berjudul Bangsa Koyak karya Nurul Nasuha Nabila.

Pementasan di bawah arahan Zayrul Iqwan Rosli ini akan berlangsung pada 17 hingga 21 Mei di Studio Revolution Stage, Petaling Jaya dengan menampilkan pelajar kelas lakonan Dramatis Studio di bawah bimbingan pengarah dan aktivis teater, Rosli Rahman Adam.

Zayrul Iqwan berkata, Bangsa Koyak adalah teater ekspresi yang akan mencungkil makna kepemimpinan di tengah-tengah perkembangan politik kontemporari dalam konteks global sama ada politik tempatan atau luar negara.

“Ketika isu politik dan pelbagai polemik sosial serta ekonomi diperdebatkan, mahu atau tidak, saya ingin mengangkat beberapa isu yang mudah difahami masyarakat supaya penonton juga boleh memahami dengan jelas mesej yang ingin disampaikan.

“Hasilnya, inilah isu yang saya ketengahkan menerusi Bangsa Koyak. Ia juga menyentuh soal kemanusiaan yang semakin pudar kerana manusia yang berkuasa mementingkan diri sendiri sehingga terlupa akan perjuangan yang sebenar,” katanya.

Menurutnya, teater ini adalah suara kepada manusia yang tertindas oleh kuasa manusia lain yang diwakili lima watak ciptaan penulis skripnya.

“Watak ini adalah sebagai metafora atau perlambangan kepada sesuatu. Semua watak adalah pembahas untuk setiap keperitan dan nasib diri mereka.

“Persoalan yang diketengahkan adalah berdasarkan isu semasa yang dipaparkan secara halus, tapi sarat dengan mesej dan sindiran. Jadi, teater Bangsa Koyak ini boleh saya sifatkan sebagai sebuah karya kritikan,” katanya.

Seperti kebiasaan teater terbitan Dramatis Studio, Rosli Rahman Adam sekali lagi akan bertindak sebagai penasihat pementasan dan jurulatih lakon untuk pelajarnya.

Rosli berkata, penonton yang hadir untuk menonton teater ini perlu bersifat matang dan terbuka kerana mungkin ia boleh membuat sesetengah pihak tidak berpuas hati.

“Bagi saya, ini hanyalah sebuah seni persembahan dan tidak lebih daripada itu. Namun, teater ini sebenarnya menjadi satu platform pendedahan buat pelajar kelas lakonan Dramatis Studio.

“Kami sudah menjayakan pementasan teater sejak 1998. Sehingga kini, kami masih bertahan sebagai sebuah produksi kecil yang akan terus berkarya serta memberi ruang dan peluang kepada anak-anak muda untuk mengasah bakat lakonan mereka,” katanya.

Tambahnya, Dramatis Studio setakat ini sudah menerbitkan hampir 30 teater. Bagaimanapun mereka berpegang pada prinsip bukan kuantiti yang dicari, sebaliknya kualiti.

Barisan pelakon yang terbabit menjayakan Bangsa Koyak adalah Juwita Rosli, Puteri Izan, Rafiey Izwan, Faruq Nordin, Awie Shahnizar, Nurin Jazlina dan Zayrul Iqwan sendiri.

Pementasan pada 20 dan 21 Mei akan diadakan selama dua sesi iaitu pada jam 3 petang dan jam 8 malam, manakala pada tarikh lain pada jam 8.30 malam.

Tiket berharga RM20 dikenakan untuk orang awam, manakala RM15 untuk pelajar, OKU dan warga emas.

Keterangan lanjut mengenai teater, tempahan dan pembelian tiket boleh dibuat menerusi Facebook Dramatis Studio.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.