Berita Terkini
recent

Aplikasi Smule bawa Andi Bernadee ke dunia seni

PERKEMBANGAN teknologi kini sememangnya memberi pelbagai peluang buat individu yang bijak di dalam menggunakannya. Malah, kewujudan pelbagai aplikasi sosial juga tidak kurang hebatnya sehingga ia menjadi platform terbaik dalam menzahirkan kreativiti.

Itulah cuba disampaikan pendatang baru dalam dunia seni suara lokal, Andi Azrul Andi Mapangile, 25, yang dahulunya cukup popular menerusi aplikasi karaoke atas talian, Smule.

Bermula hanya sekadar suka-suka menyanyikan lagu cover version, siapa sangka impiannya kini sudah direalisasi apabila single pertama berjudul Tiada Lagi Maaf bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Terdahulu, pemuda berasal dari Kota Kinabalu, Sabah yang menggunakan nama komersial Andi Bernadee ini pernah menjadi buah mulut ramai apabila videonya menyanyikan lagu Putus Terpaksa dari Ziana Zain menjadi viral. Malah, lagu Bang Toyyib juga turut viral di Indonesia awal tahun lalu.

Melihat kesungguhan dan kecintaannya terhadap nyanyian membuatkan Pengurus Artis, Nasir Deraman mempelawanya menjadi artis rakaman, seterusnya berada di bawah Warner Music Malaysia yang menguruskan soal promosi.

Macam mimpi

Bercerita lebih lanjut penglibatannya dalam dunia seni, Andi memberitahu, secara jujurnya dia tidak pernah menanam impian bergelar artis secara profesional.

Ini kerana, apa yang dilakukan di aplikasi itu hanya sekadar minat dan berinteraksi dengan pengguna media sosial lain.

“Memang saya tidak pernah rancang untuk join industri seni kerana sebelum ini saya selesa dengan kerjaya sebagai peniaga di atas talian.

“Saya hanya lakukan apa yang saya suka saja. Bagaimanapun, sememangnya nyanyian minat saya sejak dulu lagi. Lalu bila ada Smule, saya cuba tunjukkan bakat.

“Tidak sangka pula ia jadi perhatian dan syukur pada Jun tahun lalu, ia jadi kenyataan. Macam mimpi pun ada,” seloroh Andi yang turut menambah, single Tiada Lagi Maaf itu turut terselit perihal kisah cintanya yang tidak kesampaian.

“Lagu tersebut merupakan idea saya bersama Nasir Deraman dan ia mengisahkan pengorbanan seorang lelaki terhadap wanita yang dicintainya.

“Namun wanita tersebut curang dan berlalu pergi,” kata Andi yang tidak boleh menyembunyikan perasaan gementarnya apabila lagu tersebut dilancarkan kelak.

Pun demikian, lagu tersebut sudah pun boleh didengari menerusi YouTube sejak sebulan lalu.

“Rasa berdebar juga sebenarnya menantikan respons pendengar. Sebab kita sedia maklum bukan senang lagu itu terus ‘menangkap’ telinga peminat muzik tempatan.

“Lebih-lebih lagi kini mereka punya banyak pilihan lagu ikut cita rasa masing-masing.

“Apa pun, saya sudah berikan yang terbaik untuk single ini dan harap dapat diterima. Terima kasih buat pengikut saya khasnya di laman sosial yang tidak putus-putus beri kata semangat dan sokongan.

“Tambah happy bila support yang datang daripada peminat Indonesia juga,” ujar Andi.

Yuna jadi idola

Sambil menyifatkan dirinya perlu lebih berusaha lebih gigih untuk menempatkan diri dalam kalendar seni negara ini, anak kedua daripada empat beradik ini juga turut kagumi pencapaian penyanyi Malaysia bertaraf antarabangsa, Yuna.

Jelas Andi, dia kagumi penyanyi wanita itu atas kejayaannya sejak awal sehingga ke hari ini. Selain bijak menulis lagu, penyanyi itu juga disifatkannya sebagai penyanyi yang tahu misi dan fokusnya.

“Jiwa Yuna sangat besar dan dia tahu apa yang dilakukan. Saya kagum dengan dia. Dari ‘zero’, dia kini sudah ada nama besar. Bukan saya di Malaysia, tapi juga negara luar. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan pastinya.

“Ya, jauh sekali kalau dibandingkan dengan saya. Namun saya percaya, jika ada kesungguhan dan usaha, semua yang dicita-citakan itu tidak mustahil mampu direalisasikan,” akhiri Andi.
ot;1" />
Powered by Blogger.