Berita Terkini
recent

Amyra bersemangat bintangi telefilem

Usia kandungan yang kini memasuki empat bulan dan keadaan kesihatan yang stabil meyakinkan pelakon Amyra Rosli untuk membintangi telefilem raya Famili Tuan Ehsan yang mula menjalani penggambaran esok.

Amyra berkata, dia tidak lagi mengalami simptom mabuk teruk seperti awal kehamilan lalu dan bersetuju berlakon selepas mengadakan perbincangan dengan penerbit, Global Station Sdn Bhd.


"Biasalah, apabila mengandung tenaga saya tak seperti sebelum ini. Kadang-kadang okay dan ada ketika pula saya berasa lemah. Bagaimanapun saya lega kerana muntah-muntah sudah berkurangan. Cuma kadang-kadang saya rasa pening dan susah bangun pagi.

“Pada awalnya memang sukar nak berlakon. Namun, selepas berbincang dengan penerbit Zetty Alia, mereka berjanji akan mengikut situasi saya sepanjang penggambaran berjalan," katanya.

Amyra berkata, Global Station juga bersetuju merombak wataknya sebagai Seroja Irdina bagi disesuaikan dengan keadaannya sekarang untuk penggambaran yang dijangka memakan masa selama tujuh hari.

"Peminat semua tahu Seroja Irdina seorang yang hiperaktif, jadi wataknya kali ini dilembutkan sedikit.

"Sayang pula kalau saya tak berlakon sedangkan pelakon asal yang lain semuanya ada. Sebenarnya saya tak nak ambil risiko susahkan mana-mana pihak, tapi syukurlah mereka boleh bertolak ansur mengikut syarat yang saya tetapkan," katanya.

Ketika awal kehamilan, Amyra mengalami alahan teruk sehingga memaksa dia membatalkan beberapa tawaran berlakon termasuk menarik diri sebagai pengacara program Muzik-Muzik.
Powered by Blogger.